razis@mediaprima.com.my
MENGIMBAS kembali perjalanan pasangan suami isteri ini untuk memiliki kediaman pertama sebenarnya bukan mudah.
Lima kali permohonan untuk memiliki Rumah Selangorku gagal, namun Aryani Harith Fadzilah, 28, dan suaminya, Muhammad Hishamuddin Mohd Jefry, 28, tidak pernah berputus asa.
Berbekalkan kesabaran dan keinginan yang tinggi, pasangan ini membuktikan bahawa usaha tidak pernah mengkhianati hasil apabila permohonan keenam mereka pada 2023, akhirnya diluluskan.
Lebih menggembirakan, kediaman jenis pangsapuri kos mampu milik di Bandar Sungai Long, Kajang, Selangor yang berkeluasan 900 kaki persegi itu dibeli pada harga RM181,000 terletak di lokasi yang strategik selain menawarkan pelbagai kemudahan.
Pangsapuri ini dilengkapi dewan serba guna, surau, taska dan kawalan keselamatan 24 jam, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarganya yang mencari kediaman selesa dan selamat.
Lokasinya yang berhampiran dengan pelbagai kemudahan seperti sekolah, pusat membeli-belah dan akses mudah ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Silk) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) menambah nilai kepada kediaman ini.
Aryani berkata, dengan harga rumah yang mampu milik, mereka berjaya mendapatkan sebuah kediaman yang selesa dan strategik di kawasan yang sedang membangun.
“Lokasinya yang tenang dan kejiranan harmoni menjadikan suasana hidup lebih tenteram serta sesuai untuk membesarkan keluarga.
“Nilai hartanah di kawasan ini juga berpotensi meningkat pada mas depan, menjadikannya satu pelaburan yang bijak. Jadi, dari sudut keselesaan, keselamatan dan nilai masa depan, saya yakin kediaman ini adalah pilihan berbaloi,” katanya.
Menurutnya, mereka mendapat maklumat berkenaan kediaman itu selepas menemui iklan projek Rumah Selangorku ini di Facebook pada tahun 2019.
“Selepas membaca lebih lanjut dan melihat potensi projek itu, suami terus mengambil inisiatif untuk mengemas kini maklumat dan permohonan kami di laman web rasmi Rumah Selangorku. Sejak itu, kami mula mengikuti perkembangan projek itu dari semasa ke semasa.
“Tempoh pencarian dan penilaian rumah mengambil masa hampir setahun kerana kami turut mempertimbangkan beberapa pilihan lain sebelum membuat keputusan akhir.
“Namun, selepas meneliti lokasi, kemudahan yang ditawarkan serta harga yang mampu milik, kami yakin Desa Budiman, Sungai Long adalah pilihan yang paling sesuai untuk keperluan keluarga kami,” katanya.
Jelasnya, sebelum ini mereka tinggal menyewa selama lima tahun di sebuah pangsapuri di Hulu Langat dan tidak terlalu memikirkan mengenai memiliki kediaman sendiri, kerana lebih fokus pada kerjaya serta kehidupan harian.
Selepas beberapa tahun bekerja dan melihat perkembangan ekonomi, mereka mula merasakan pentingnya untuk memiliki aset tetap, terutama rumah sebagai satu bentuk kestabilan kewangan.
“Saya juga mula merasai ketidakselesaan tinggal di rumah sewa terutama apabila bayaran bulanan tidak memberi sebarang pulangan atau jaminan jangka panjang.
“Ini kerana saya begitu mengimpikan untuk mempunyai tempat yang lebih peribadi, saya sesuai cita rasa dan keperluan. Selain itu, melihat rakan-rakan yang sudah membeli rumah dan mula merasai manfaatnya, membuatkan saya berfikir bahawa ini adalah langkah yang perlu saya ambil.
“Jadi, gabungan antara keinginan untuk memiliki kediaman sendiri dan keadaan kewangan yang semakin stabil membuatkan saya yakin bahawa ini adalah masa yang tepat untuk membeli rumah,” katanya.
Aryani mengakui selepas memiliki kediaman sendiri, pengurusan kewangan menjadi lebih teratur dan memerlukan perancangan yang lebih teliti.
“Kami membuat perancangan kewangan yang lebih ketat dengan memastikan pembayaran bulanan pinjaman rumah, bil utiliti dan perbelanjaan harian dapat diuruskan dengan baik tanpa mengganggu kewangan peribadi.
“Setiap bulan, kami memastikan ada lebihan wang selepas membayar pinjaman rumah dan keperluan lain dan sebahagian daripada lebihan itu kami simpan dalam tabung kecemasan serta untuk pelaburan masa depan.
Beliau turut menasihatkan bakal pembeli rumah supaya sentiasa melakukan perancangan kewangan yang rapi dan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




