Kota Bharu: Aliran trafik di beberapa pintu masuk dari jalan utama Persekutuan membabitkan jajahan Pasir Puteh dilaporkan lancar hingga 9 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, aliran trafik di jalan keluar masuk di sempadan Pasir Puteh-Terengganu, termasuk di pintu masuk Tok Bali-Kuala Besut berada pada skala satu.
“Setakat ini, tiada kesesakan jalan di pintu masuk sempadan Kelantan-Terengganu dan kenderaan bergerak seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata, pemantauan sentiasa dijalankan oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh berikutan kepulangan perantau ke kampung halaman sempena Aidiladha.
© New Straits Times Press (M) Bhd