"Arwah selalu ingatkan saya puasa sunat" – Ibu mangsa kemalangan

"Arwah selalu ingatkan saya puasa sunat" – Ibu mangsa kemalangan

am@hmetro.com.my

Baling: Seorang ibu tidak menyangka pertemuan dia dan anaknya pada kelmarin adalah yang terakhir sebelum arwah dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan di hadapan Kilang Mardec, Kuala Pegang di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 3.30 petang itu, Suraini Mohamad, 46, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan.

Lebih menyedihkan apabila kemalangan itu berlaku kira-kira dua hari sebelum Aidiladha yang akan disambut esok.

“Arwah selalu ingatkan saya berkaitan puasa sunat yang elok dilakukan pada hari-hari tertentu iaitu semalam dan hari ini.

“Dia beritahu saya, kalau nak puasa, eloklah puasa pada hari berkenaan malah semalam, pada hari kejadian pun dia puasa.

“Namun saya reda dengan ketentuan Allah apabila dia meninggalkan kami semua ketika dua hari menjelang Aidiladha,” kata Fatimah Ismail, 73, ibu kepada Allahyarham Suraini di sini, hari ini.

Fatimah berkata, hubungan dia dan arwah sangat rapat kerana mereka tinggal berdekatan rumah di Kampung Tanah Bukit Hitam, Kuala Pegang di sini.

Menurutnya, arwah anaknya itu sering berkongsi perihal info keagamaan kepadanya sebelum kemalangan berlaku.

“Semalam (kelmarin) adalah hari terakhir kami berjumpa dan dia datang ke rumah untuk ingatkan saya berkaitan puasa sunat semalam dan hari ini.

“Mungkin sebab dia puasa semalam sebab itu dia tidak datang menjenguk saya dan saya pula tidak puasa.

“Kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan menunggang motosikal dari tempat kerjanya di Kampung Banggol Lada pulang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, arwah Suriani selalu nampak ceria dan beritahu anak sulungnya yang juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menyambung pengajiannya.

Katanya, dia sedih dengan apa yang berlaku malah bersyukur kerana anaknya meninggal dunia ketika sedang berpuasa.

Jenazah Suraini dibawa pulang dari Hospital Kulim pada 11 malam tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jenalik selepas urusan bedah siasat selesai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top