
Jinping (kiri) dan Trump. Foto AFP
BEIJING – Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengadakan perbualan melalui panggilan telefon pada Khamis.
Jinping berkata, kedua-dua pihak perlu memanfaatkan mekanisme rundingan ekonomi dan perdagangan yang telah dibina, mengutamakan prinsip kesamarataan, menghormati keprihatinan masing-masing, serta berusaha mencapai situasi menang-menang.
Beliau memaklumkan bahawa selepas rundingan ekonomi dan perdagangan China-AS diadakan di Geneva, China melaksanakan hasil rundingan itu dengan bersungguh-sungguh.
Justeru, Jinping menasihatkan AS supaya melihat kemajuan itu secara realistik dan menarik balik langkah-langkah negatif yang dikenakan terhadap China.
Jinping turut menekankan bahawa AS harus mengendalikan isu Taiwan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kedua-dua negara daripada terjerumus ke dalam konfrontasi dan konflik yang berbahaya.
Sementara itu, Trump menyatakan bahawa beliau amat menghormati Jinping dan mengakui hubungan AS-China sebagai amat penting.
AS gembira melihat perkembangan pesat ekonomi China dan percaya kedua-dua negara boleh mencapai banyak kejayaan sekiranya bekerjasama, kata Trump.
Pemimpin AS itu menegaskan bahawa negaranya akan terus berpegang kepada dasar satu China.
Beliau turut memaklumkan bahawa rundingan ekonomi dan perdagangan AS-China di Geneva berjaya mencapai hasil yang memuaskan, dan AS bersedia bekerjasama dengan China untuk melaksanakan perjanjian yang dicapai.
Selain itu, Trump berkata, AS mengalu-alukan kehadiran pelajar dari China untuk melanjutkan pengajian di AS. – Bernama-CMG