norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan, Norman Hakim, 50, memilih Turkiye sebagai destinasi percutian bagi meraikan ulang tahun perkahwinan ke-15 dengan isteri tercinta, Memey Suhaiza, 38, hari ini.
Menerusi hantaran dimuat naik Norman di Instagram (IG), bapa enam anak itu meluahkan rasa syukur tidak terhingga ke hadrat Yang Maha Esa kerana mempertemukan jodoh mereka.
“Alhamdulillah… 15 tahun Allah izinkan kita berjalan dalam satu ikatan, satu perjalanan dan satu perjuangan. Bila Abang imbau semua yang telah kita lalui… yang indah, yang sukar, tawa, air mata, jatuh dan bangun…s atu perkara yang Abang paling syukuri ialah Allah memilih Sayang untuk berjalan di sisi Abang.
“Terima kasih sepanjang 15 tahun ini sentiasa menjadi isteri, sahabat dan makmum yang taat dan setia. Terima kasih kerana percaya kepada Abang sebagai imam walaupun Abang sendiri masih banyak kekurangan dan masih terus belajar untuk menjadi suami, ayah dan pemimpin keluarga yang lebih baik,” tulisnya.
Norman turut menyifatkan Memey sebagai individu penting dalam hidupnya yang menjadi ‘penguat utama’ untuk menarik dia balik ke rumah bagi memfokus masa bersama keluarga selepas seharian bekerja.
“Sayang pun adalah “rumah” tempat Abang kembali. Tempat Abang menemukan ketenangan selepas penat berjuang, tempat kita membesarkan anak-anak, membina impian dan menyusun kehidupan ini bersama-sama.
“Terima kasih Allah atas segala nikmat, rahmat dan kesempatan ini. Terima kasih kerana meminjamkan kepada Abang, seorang wanita yang telah menemani Abang selama 15 tahun.
“Ya Allah…sebagaimana Kau satukan kami di dunia ini, peliharalah cinta, iman dan keluarga kami. Panjangkanlah perjalanan ini dalam keberkatanMu dan izinkan kami terus berpimpin tangan sehingga ke penghujung usia dan akhirnya dipertemukan kembali di syurga-Mu,” katanya.
Norman dan Memey bernikah pada 24 September 2011 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Darwisz Hakim, Dikhriz Hakim serta Mikayla Delisha Hakim.
Norman pernah bernikah dengan Abby Abadi, 49, pada 2002, namun bercerai pada 2009. Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 23, Marissa Dania Hakim, 21, dan Maria Danisha Hakim, 18.
© New Straits Times Press (M) Bhd
