Cikgu Idrus dikenang ramai sebagai berprinsip, berpekerti mulia

audreymd@nst.com.my

Georgetown: Pelbagai pihak hari ini menyampaikan penghormatan susulan pemergian Idrus Ibrahim, abang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin dan tokoh masyarakat mengenang pendidik itu, kerana disiplin tegas, prinsip yang teguh, serta keprihatinan mendalam terhadap anak murid dan masyarakat.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, bersama Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, menzahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada Anwar atas pemergian Idrus.

Dalam satu kenyataan rasmi, beliau mengimbau kembali interaksi peribadi dengan Idrus semasa satu kunjungan tahun lalu.

Beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai singkat namun sangat bermakna, serta mengingati Idrus sebagai seorang yang lemah-lembut tutur katanya, berbudi pekerti mulia dan bersahsiah baik.

Sambil menzahirkan rasa simpati yang mendalam, beliau dan isteri turut menyatakan solidariti bersama Perdana Menteri dan keluarga, dalam saat-saat penuh kedukaan ini.

Mereka berharap keluarga tabah dan cekal menghadapi kehilangan insan tersayang.

Menerusi doa yang dipanjatkan, beliau memohon Allah mengampuni segala kekhilafan Allahyarham, menerima segala amal baktinya, mengurniakan ketenangan di alam barzakh, serta menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang soleh.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, menzahirkan penghargaan atas bimbingan guru veteran itu sepanjang perjalanan politik beliau.

“Cikgu Idrus bukan sekadar guru dan seorang guru besar kepada saya. Beliau seorang pendidik yang tegas, berdisiplin dan berprinsip, tetapi sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak muridnya.

“Saya juga sangat menghargai segala nasihat dan bimbingan yang beliau berikan kepada saya ketika saya baru memulakan langkah sebagai ahli Parlimen sampailah sehingga menjadi seorang ahli Kabinet.

“Jasa cikgu sentiasa saya ingat. Takziah buat seluruh keluarga PMX” katanya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, turut menzahirkan rasa dukacita yang mendalam sebaik menerima berita menyedihkan itu.

“Saya menerima berita ini dengan hati yang berat. Air mata menderu laju. Hiba menerima perkhabaran ini.

“Ya Allah. Cikgu Idrus yang sentiasa kaya dengan nasihat dan kasih sayang telah meninggalkan kita.

“Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’afuanhu.

Semoga Allah SWT memberikan kesabaran dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga khususnya YAB DS Anwar Ibrahim. Al-Fatihah,” kata Fadhlina.

Terdahulu hari ini, Anwar berkongsi berita duka itu di laman Facebook beliau.

Beliau meluahkan rasa dukacita atas pemergian abang sulungnya.

“Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, saya menerima khabar yang meruntun jiwa bahawa abang saya, Idrus Ibrahim, telah pergi buat selama-lamanya.

“Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada, dan hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini.

“Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi,” katanya.

Anwar dalam pada itu turut berterima kasih atas segala kenangan serta kebaikan yang ditinggalkan Allahyarham dan semuanya akan kekal terpahat dalam ingatan dan hati keluarganya.

Idrus, 83, meninggal dunia akibat faktor usia pada 5.30 petang.

Pengumuman rasmi kematian yang dikeluarkan oleh Masjid Jamek Cherok Tokun Bawah, Bukit Mertajam, mengesahkan bahawa jenazah kini ditempatkan di kediaman Perdana Menteri di Cherok Tokun.

Solat jenazah akan diadakan selepas solat Jumaat di masjid itu, dan kemudian jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherok Tokun Bawah yang terletak bersebelahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top