Rais Yatim akan didakwa hari ini

Kuala Lumpur: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, pagi ini.

Menurut sistem e-Kehakiman, Rais, 84, dijadualkan didakwa di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin pada 9 pagi.

Memetik laporan FMT, Rais mengesahkan perkara itu ketika dihubungi dan berkata prosiding akan berlangsung di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh.

Bagaimanapun menurut FMT, butiran pertuduhan masih belum jelas.

Julai lalu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menitahkan penarikan balik darjah kebesaran negeri yang dikurniakan kepada Rais, yang juga bekas Menteri Besar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Zafir Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi memelihara kemuliaan dan kehormatan institusi diraja Negeri Sembilan.

Rais memainkan peranan dalam kemelut diraja Negeri Sembilan yang sedang berlangsung, dengan secara terbuka menyokong langkah tiga Undang dan seorang bekas Undang untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta.

Bekas Ahli Parlimen Jelebu selama enam penggal itu antara yang hadir ketika Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar didakwa diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu, di sebuah hotel di Melaka, Jun lalu.

Istana Negeri Sembilan kemudian mengisytiharkan pengisytiharan itu tidak sah dari segi perlembagaan, undang-undang dan adat negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top