am@hmetro.com.my
Permatang Pauh: Pemergian abang kandung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Idrus Ibrahim, 83, mengejutkan ahli keluarganya apabila Allahyarham disahkan menghembuskan nafas terakhir dalam tidur di kediamannya di Jalan Kilang Ubi, Cherok Tokun di sini, petang tadi.
Anaknya kedua Allahyarham, Aida Rafizah, 54, berkata, bapanya pernah mengalami serangan jantung tahun lalu namun keadaan kesihatannya kembali pulih dan menjalani pemeriksaan rutin mengikut jadual ditetapkan doktor.
Katanya, Allahyarham sempat menjamah buah kiwi dan kuih tepung bungkus sewaktu makan tengah hari sebelum tidur selepas menunaikan solat Zuhur serta tidak menunjukkan sebarang petanda luar biasa seperti mengadu kepenatan atau berasa sakit.
“Kami betul-betul tak sangka dan tak duga langsung kerana arwah masih boleh mengurus dirinya sendiri macam biasa, boleh bangun dan berjalan. Cuma kakinya tidak kuat.
“Arwah juga dipercayai sedang bersiap sedia menunaikan solat Asar berdasarkan keadaan kain pelikat yang diletakkan di atas badannya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang,” katanya kepada pemberita di sini, malam ini.
Aida Rafizah berkata, hanya dia dan ibu, Faridah Hanim Mohd Ghouse, 80, berada di rumah dan kali terakhir mereka berbual-bual dengan Allahyarham adalah ketika makan tengah hari.
“Arwah makan sikit saja dan tidak mahu makan nasi. Sekarang memang kurang makan dan tidak berselera, sudah lama begitu,” katanya.
Idrus yang juga anak kedua daripada lapan beradik, meninggalkan seorang isteri, empat anak serta 10 cucu.
Jenazah dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherok Tokun Bawah di sini selepas solat Jumaat.
Sementara itu, Pegawai khas Perdana Menteri, Zainal Abidin Saad berkata, beliau menerima panggilan telefon dan pesanan mesej dari isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memintanya menjenguk keadaan arwah yang dikenali sebagai Cikgu Idrus kira-kira jam 5 petang tadi.
“Tetapi apabila saya sampai, Cikgu Idrus sudah tiada dan doktor yang sampai kemudiannya mengesahkannya beliau meninggal dunia di dalam tidur,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam ini.
Zainal berkata, Allahyarham sudah lama tidak keluar dari rumah kerana uzur tetapi masih bersemangat berbual lama dan ramah bercerita setiap kali beliau datang berkunjung.
“Beliau adalah bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Stowell, Bukit Mertajam dan memang gemar bersembang lama kalau jumpa. Kalau kami ada masalah kami akan merujuk beliau untuk meminta nasihat dan beliau banyak memberi pandangan sebagai orang lama.
“Cikgu Idrus juga mempunyai hubungan rapat dengan komuniti setempat termasuk warga masjid serta ramai bekas anak muridnya datang ziarah sebaik sahaja mengetahui khabar pemergian arwah,” katanya.
Katanya, Perdana Menteri dijangka tiba di kediaman Allahyarham kira-kira jam 10.30 pagi esok dengan penerbangan beliau dari Subang dijadual berlepas jam 9 pagi selain Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dijangka hadir menziarahi jenazah esok.
Terdahulu, Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini berkongsi berita duka mengenai pemergian abang kandungnya itu ketika beliau dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke China.
Tinjauan di kediaman Allahyarham terus dibanjiri orang ramai yang hadir menziarahi jenazah serta menyertai majlis bacaan tahlil dan Yasin selain beberapa khemah turut dipasang di pekarangan rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd
