Impian terlaksana

Impian terlaksana

PENYANYI baharu Indonesia, Aurelia Syaharani teruja ditawarkan menyertai syarikat rakaman Universal Music Indonesia dan menyifatkan impiannya sudah menjadi kenyataan.

Aurelia yang tampil dengan single pertama berjudul Mungkin Hanya Kamu pada 9 Mei lalu berkata, keluarganya juga sangat menyokong minatnya dalam bidang nyanyian sejak kecil.

“Ini adalah impian besar saya yang menjadi kenyataan. Lebih menarik, saya diberi kepercayaan untuk terbabit terus dalam penghasilan single ini.

“Saya memang sangat teruja dan pada masa sama berdebar dengan pelancaran ini. Saya berharap Mungkin Hanya Kamu diterima baik pendengar. Saya juga harap karya-karya saya selepas ini akan mendapat tempat di hati masyarakat,” kata gadis berusia 18 tahun dari Jember, Indonesia ini.

Aurelia yang datang dari keluarga pemuzik berkata, lagu itu mengenai kisah cinta remaja yang putus di tengah jalan apabila seorang daripada mereka sudah melangkah ke hadapan bersama orang baharu, manakala seorang lagi masih terperangkap dalam kenangan, mempercayai bahawa orang itu yang benar-benar memahaminya.

“Ia adalah cerita mengenai patah hati, kerinduan dan kepedihan melepaskan seseorang,” katanya.

Menurut Aurelia, dia turut terbabit secara langsung dalam penulisan lagu ini bersama Clara Riva dan Martinus Layardo atau Tintin.

“Saya sangat gembira dapat menulis lagu ini bersama Kak Clara dan Kak Tintin. Ramai rakan seusia saya pasti boleh kaitkan lagu ini dengan mereka,” katanya.

Untuk penerbitan, Aurelia bekerjasama dengan ABRAM dan Tintin sebagai penerbit yang berjaya memberikan susunan muzik lebih segar dengan tempo ‘medium upbeat’ walaupun liriknya menyedihkan.

“Saya sangat sukakan hasil akhirnya. Gubahannya sangat bagus dan betul-betul sesuai dengan karakter vokal saya,” katanya.

Selain itu, Mungkin Hanya Kamu turut hadir dengan muzik video yang diarahkan Benny Lim.

Ia menampilkan lakonan Aurelia yang sesuai dengan tema dan emosi lagu termasuk babak galau yang menyentuh hati.

“Penggambaran sangat menyeronokkan dan berjalan lancar. Saya cuba benar-benar menghayati watak agar penonton yang pernah putus cinta atau sukar ‘move on’ boleh rasa apa yang saya sampaikan,” katanya.

Sebelum menyertai Universal Music Indonesia, Aurelia sudah membuktikan bakat nyanyiannya melalui dua single indie dan beberapa video ‘cover’ lagu-lagu popular di media sosial miliknya.

Antaranya lagu Bukan Untukku nyanyian Tiara Andini yang juga kakaknya.

Teknik vokal yang digunakan memberikan nafas baharu kepada lagu itu dan mendapat pujian netizen atas keunikan dan kualiti suaranya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top