Norris perlu cari kelemahan Piastri

Norris perlu cari kelemahan Piastri

London: Perbezaan ketara antara prestasi dua pemandu McLaren musim ini akhirnya dikenal pasti.

McLaren dilihat memiliki jentera paling laju dalam Formula Satu (F1) sepanjang tahun lalu, memintas Red Bull untuk menjulang kejuaraan pengeluar dan terus mengukuh cengkaman mereka musim ini.

Oscar Piastri pula kini mendahului rakan sepasukannya, Lando Norris, dengan kelebihan tiga mata di puncak kedudukan keseluruhan pemandu.

Juara bertahan, Max Verstappen, pula ketinggalan 25 mata di belakang pendahulu dan meninggalkan Grand Prix Sepanyol hujung minggu lalu dengan wajah kecewa, seolah-olah mengakui bahawa gelaran juara mungkin sukar digenggam musim ini.

Namun, apa yang lebih mengejutkan, Norris sendiri bergelut untuk menyaingi Piastri yang memenangi lima daripada sembilan perlumbaan setakat ini pada musim 2025.

“Cabaran Norris sekarang ialah mengenal pasti kelemahan (Piastri),” kata pemerhati sukan itu, Julianne Cerasoli menerusi podcast F1 Nation.

“Sebab dia memang ada kelemahan sebelum ini. Penghujung musim lalu sangat penting untuk Oscar kerana masa tu kita selalu dengar, ‘dia makin bagus setiap perlumbaan’ tapi akhirnya, dia sendiri tak puas hati.”

Norris pernah bermula dari petak utama di Grand Prix Monaco dan berjaya menukar kelebihan itu kepada kemenangan.

Namun di Sepanyol minggu lalu, dia menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kesilapan dalam sesi kelayakan yang menjejaskan kedudukannya.

Setakat ini, McLaren mencatat tiga keputusan 1-2 musim ini, membuktikan dominasi mereka sebagai pasukan paling konsisten dan berbahaya di grid F1 ketika ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top