Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan kononnya aktivis, Fahmi Reza telah disekat daripada meninggalkan negara.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada kenyataaan rasmi di media sosial, pihaknya mengambil maklum laporan media serta reaksi awam berkaitan isu tersebut.
Tiada sebarang sekatan buat Fahmi Reza
Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang sekatan rasmi dikenakan terhadap aktivis terbabit untuk keluar negara seperti yang dinyatakan sebelum ini.
“Tiada sebarang sekatan rasmi yang dikenakan terhadap Fahmi Reza buat masa ini.”
“Walau bagaimanapun, nama beliau telah dimasukkan ke dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman pihak PDRM berikutan siasatan kes melibatkan beliau yang masih dijalankan oleh pihak PDRM,” tulisnya.
Fahmi Reza cuma dimasukkan dalam senarai pemantauan pergerakan
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 8 Jun 2025, PDRM menjelaskan bahawa nama Fahmi Reza dimasukkan ke dalam senarai pemantauan pergerakan atas tujuan rekod dan rujukan dalaman, susulan siasatan yang sedang dijalankan.
“Senarai ini tidak membawa maksud sekatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada prosedur pemantauan yang lazim dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” jelas kenyataan itu lagi.
Berlaku kekeliruan semasa proses semakan
PDRM turut mengesahkan berlaku kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara pada 7 Jun 2025, yang membawa kepada arahan sekatan dikeluarkan secara tidak tepat.
“Situasi ini sedang diteliti dan langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemas prosedur sedia ada.”
Tambah PDRM, mereka kekal komited melindungi hak kebebasan bergerak rakyat Malaysia dan individu yang sedang disiasat, selagi mana mematuhi undang-undang serta peraturan imigresen.
“Setiap rakyat Malaysia dan individu berkenaan adalah bebas untuk melakukan perjalanan keluar dan masuk negara seperti biasa,” ujarnya.
Artikel lain: Disenarai hitam! Fahmi Reza dakwa dihalang ke luar negara, mahu penjelasan Bukit Aman
Kenyataan ini sekaligus menyangkal dakwaan tular yang mengatakan Fahmi Reza telah disekat secara rasmi oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Negara mengakhiri kenyataan dengan menegaskan bahawa tindakan lanjut sedang diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
Sebelum ini, Perdana Menteri Malayasia juga telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menyemak isu larangan ke luar negara dikenakan ke atas aktivis tersebut.
Hal ini susulan dakwaan Fahmi Reza yang mengatakan dirinya dilarang untuk ke luar negara bagi menghadiri konsert muzik sewaktu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.