Langgar lari di Jalan Apas, polis cari Hilux 'bronze mica'

Langgar lari di Jalan Apas, polis cari Hilux 'bronze mica'

am@hmetro.com.my

Tawau: Polis sedang mengesan pemandu trak pikap Toyota Hilux yang melanggar lelaki sedang berjoging di Batu 3, Jalan Apas di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.50 pagi ketika mangsa berusia 34 tahun bersama kira-kira 20 rakan sedang berjoging bermula dari sebuah restoran makanan segera menuju ke Bandar Seri Indah, dekat sini.

Beliau berkata, mangsa bersama dua rakan yang berada di hadapan memimpin larian berkumpulan itu dirempuh dari arah belakang oleh Toyota Hilux berwarna ‘bronze mica’ yang nombor pendaftarannya tidak dikenal pasti.

“Ketika itu mangsa yang berada di sebelah kanan jalan dilanggar kenderaan berkenaan sebelum tercampak ke dalam parit konkrit di sebelah kiri jalan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini sedang menerima rawatan di wad pembedahan Hospital Besar Tawau dan dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Jasmin berkata, pemandu pikap terbabit bagaimanapun gagal dikesan selepas bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan individu berkenaan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Joan Lee di talian 019-8537100.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa kecermatan dan tidak bertimbang rasa,” katanya.

Terdahulu kejadian itu tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (cctv) dari sebuah premis berhampiran memaparkan mangsa dirempuh sebuah pikap dari arah belakang sebelum tercampak ke dalam parit konkrit di bahu jalan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top