am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua pelancong Algeria dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri beg tangan mewah bernilai RM10,670.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan bersama yang dibacakan kepada mereka dalam bahasa Arab.
Tertuduh, Mohamed Moali, 35 dan Mohamed Lamine Doudou 32, mengaku mencuri beg tangan ‘mini jewelled satchel’ berwarna hitam pada 23 Mac dari sebuah kompleks beli-belah terkenal, dengan niat untuk menjualnya bagi membiayai percutian mereka di Malaysia.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Berdasarkan fakta kes, pembantu jualan menyedari beg tangan itu hilang pada jam 3 petang hari yang sama dan membuat laporan polis. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan salah seorang lelaki mengambil beg tangan dari rak, memasukkannya ke dalam beg kertas, dan meninggalkan premis.
Kedua-dua lelaki itu mengaku melakukan jenayah semasa siasatan.
Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal berikutan kerugian kewangan yang ditanggung dan keperluan hukuman itu untuk menjadi pengajaran.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Charanpal Singh yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan berikutan kedua-dua tertuduh hanya bekerja sebagai pereka dan kontraktor.
Charanpal juga memberitahu mahkamah kedua-dua tertuduh sudah menjalani hukuman penjara tiga bulan untuk kesalahan sama di mahkamah majistret yang berasingan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




