Cari slot sesuai untuk artis veteran di radio dan televisyen

Cari slot sesuai untuk artis veteran di radio dan televisyen

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Diangkat sebagai Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-17, baru-baru ini menjadi bukti kepimpinan Sandakiah Azez diakui ahli persatuan itu.

Sandakiah yang memegang jawatan sebagai Pemangku Presiden PKAVM sejak 2024, menganggap ia sebagai tanggungjawab besar dan akan bekerja keras untuk membantu ahli-ahlinya.

“Ketika memangku jawatan Presiden, banyak perancangan sudah diatur tetapi ditangguhkan seketika untuk pemilihan. Sekarang adalah masa bekerja untuk saya dan barisan ahli jawatankuasa yang dipilih.

“Sebelum ini kita sudah berjumpa dengan Ketua Pengarah Penyiaran (RTM) untuk mohon slot kepada artis veteran di radio dan juga televisyen.

“Masa kita jumpa itu, KP ‘on the spot’ kata okay dia ‘approve’ rancangan untuk radio. Mereka juga akan fikirkan slot apa yang sepatutnya.

“Mungkin drama radio ataupun temubual juga. Kadang-kadang ada sekali seminggu, katakanlah satu jam slot temubual nostalgia dan apa sahaja,” katanya.

Menurutnya, PKAVM bersama Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) serta Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) sedang memperjuangkan ‘rate card’ kadar bayaran minimum untuk artis veteran.

“Sebab sekarang, ada yang dibayar RM200 dan RM300 satu hari. Jadi kita nak buat akreditasi, maknanya kita nak kategorikan artis veteran yang katakanlah 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun.

“Maknanya yang pernah menang anugerah apa semua itu, kena ada dia punya kadarlah. Tak bolehlah semua dia nak pukul rata RM200, RM300 satu hari sampai lapan jam, sampai 10 jam dari pagi sampai ke malam.

“Benda ini masih dalam proses seterusnya. Insya-Allah minggu depan ada satu mesyuarat dengan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA). PROFIMA akan angkat usul itu kepada Menteri Sumber Manusia,” katanya.

Anak kepada seniman Allahyarham Datuk Aziz Sattar ini berkata, untuk program TV pula, dia mencadangkan kepada RTM untuk mengadakan semula program Hiburan Minggu Ini yang dibahagikan mengikut tema tertentu.

“Sekurang-kurangnya satu ataupun dua artis veteran dijemput untuk buat persembahan. Atau pun kita minta satu slot contohnya pop yeh yeh, retro serta apa-apa tema yang sesuai.

“Kalau katakanlah tema rock, kita ada juga artis-artis yang boleh menyanyi lagu rock. Maknanya daripada kalangan ahli, sekurang-kurangnya satu atau dua diberi peluang untuk persembahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top