Hasrat Nurul Izyanti sambung legasi keluarga tidak kesampaian

Hasrat Nurul Izyanti sambung legasi keluarga tidak kesampaian

am@hmetro.com.my

Besut: Hasrat penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21 mahu menyambung legasi keluarga sebagai pendidik tidak kesampaian.

Kakaknya, Nurul Aiin Sharmin Muhammad Azahar, 24 tahun berkata, arwah adiknya adalah penuntut semester kedua jurusan Pendidikan Pengajian Bahasa Melayu.

“Dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke UPSI kerana mahu menyambung legasi kedua ibu bapa kami yang bergelar guru.

“Kami hantar dia naik bas jam 9 malam di hadapan Masjid Hadhari, Jertih untuk pulang ke universiti,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Luas, di sini, hari ini.

Katanya, Nurul Izyanti adalah anak kedua daripada empat adik beradik dan mesra dipanggil angah.

“Kami dapat tahu adik terbabit dalam kemalangan jam 5 pagi dan pihak universiti mengesahkan adik saya meninggal dunia jam 11 pagi.

“Arwah pulang bercuti menyambut hari raya Aidiladha dan dia sempat minta mak, Rozila Resat, 50, masak makanan kegemarannya iaitu bakso dan arwah sempat makan pada malam raya,” katanya.

Katanya, jenazah Nurul Izyanti akan dikebumikan di sebelah pusara bapanya di tanah perkuburan keluarga di Kampung Lubuk Kawah, Jertih.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top