Rio de Janeiro: Pengendali baharu Brazil, Carlo Ancelotti berdepan dilema besar menjelang pengumuman skuad kebangsaan Isnin ini dengan satu persoalan terus menghantui peminat bola sepak negara itu, Neymar dipanggil atau tidak?
Penyerang berusia 34 tahun itu kekal penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil namun tempatnya dalam skuad Piala Dunia FIFA 2026 yang bermula bulan depan masih belum pasti susulan masalah kecederaan berpanjangan serta aksi kurang menyerlah bersama Santos.
Situasi itu memaksa Ancelotti menilai antara sentimen dan realiti kecergasan ketika dia merangka pasukan berintensiti tinggi buat juara dunia lima kali itu.
“Apabila perlu membuat pilihan, banyak perkara perlu dipertimbangkan.
“Neymar adalah pemain penting buat negara ini kerana bakat dimilikinya sejak dulu lagi. Tetapi dia berdepan beberapa masalah dan sedang bekerja keras untuk pulih. Prestasinya semakin baik kebelakangan ini dan dia kembali beraksi secara konsisten.
“Sudah tentu ini bukan keputusan mudah buat saya. Kami perlu menilai setiap kelebihan dan kekurangan dengan teliti,” katanya.
Jurulatih Itali itu adalah satu-satunya pengendali yang pernah memenangi gelaran liga di lima liga utama Eropah selain menjulang rekod lima trofi Liga Juara-Juara (UCL) sebagai jurulatih dan dua lagi ketika bergelar pemain.
Namun, keputusan pemilihan kali ini dijangka menerima perhatian luar biasa terutama membabitkan Neymar.
Beberapa rakan sepasukan Neymar secara terbuka menyuarakan sokongan supaya dia dipanggil semula manakala penyokong pula berbelah bahagi antara rasa sayang dan kebimbangan sama ada fizikal pemain itu masih mampu bersaing di tahap tertinggi.
“Saya tahu Neymar sangat disayangi bukan saja oleh penyokong malah pemain juga.
“Perkara itu juga perlu dipertimbangkan kerana kami perlu melihat suasana yang akan tercipta jika Neymar dipanggil. Ia bukan seperti saya mahu mencetuskan kejutan dalam bilik persalinan. Dia sangat disenangi dan dihormati.
“Saya rasa normal untuk pemain menyuarakan pendapat mereka. Saya berterima kasih kepada semua yang memberi pandangan. Tetapi akhirnya, individu paling layak membuat keputusan ini adalah saya,” katanya.
Ketika ditanya sama ada rayuan pemain mempengaruhi keputusannya, Ancelotti berkata ia hanya penting dalam satu aspek iaitu membuktikan Neymar tidak akan menjejaskan keharmonian pasukan.
Bagi Ancelotti, suasana dalam pasukan bukan masalah utama, sebaliknya perhatian luar biasa daripada media mungkin memberi cabaran lebih besar.
“Saya tidak fikir suasana dalaman akan menjejaskan pasukan. Atmosfera dalam skuad sangat positif dan bersih. Tidak kira siapa dipilih, ia akan kekal begitu hingga akhir.
“Tetapi saya tidak mampu mengawal suasana luar serta apa yang diperkatakan media,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




