Sukarelawan kapal Madleen, termasuk Greta Thunberg akan dihantar pulang

Sukarelawan kapal Madleen, termasuk Greta Thunberg akan dihantar pulang

Pelabuhan Ashdod, Israel: Aktivis alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg bersama 11 lain yang ditahan ketika menaiki kapal bantuan ke Gaza kini dibawa ke Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv untuk proses penghantaran pulang, kata Kementerian Luar Israel, hari ini.

Kapal bantuan Madleen yang dinaiki kumpulan itu berlepas dari Itali pada 1 Jun lalu membawa bekalan makanan dan keperluan ke Gaza yang kini berdepan ancaman kebuluran menyeluruh, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun semalam, tentera laut Israel memintas kapal bantuan itu di perairan antarabangsa, kira-kira 185 kilometer dari pantai Gaza, dan menundanya ke Pelabuhan Ashdod.

“Mereka yang enggan menandatangani dokumen pengusiran akan dirujuk kepada pihak berkuasa kehakiman,” kata kenyataan rasmi Kementerian Luar Israel di platform X.

Menurut Freedom Flotilla Coalition, kumpulan yang menganjurkan pelayaran itu, semua aktivis kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Israel dan mungkin akan dihantar pulang seawal malam ini.

Video yang dimuat naik menunjukkan pasukan Israel menaiki kapal berkenaan ketika aktivis sudah pun mengangkat tangan.

Seorang daripada mereka berkata tiada sesiapa cedera dalam insiden itu.

Turkiye menyifatkan tindakan Israel itu sebagai ‘serangan kejam’, manakala Iran mengecamnya sebagai ‘satu bentuk lanun’ di perairan antarabangsa.

Pada Mei lalu, sebuah kapal Freedom Flotilla, Conscience, dilaporkan rosak dalam perjalanan ke Gaza dan aktivis mendakwa ia mungkin disebabkan serangan dron Israel.

Insiden itu mengimbau kembali tragedi pada 2010 apabila tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara dari Turkiye, mengakibatkan 10 orang awam terbunuh.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata sekatan laut ke atas Gaza perlu diteruskan bagi menghalang senjata daripada diseludup masuk kepada pejuang Palestin.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, meminta agar enam warganegara Perancis di atas bot Madleen dibenarkan pulang segera ke tanah air. Dua daripadanya ialah wartawan, Omar Fayyad dari Al Jazeera dan Yanis Mhamdi dari portal Blast.

Al Jazeera dalam kenyataan mengecam penahanan itu dan menuntut pembebasan wartawannya, manakala pertubuhan Reporters Without Borders turut mendesak pembebasan segera mereka.

NGO Israel, Adalah, yang memberi bantuan guaman kepada komuniti Arab di negara itu, mengesahkan aktivis di atas Madleen sudah memohon khidmat guaman dan dijangka dibawa ke pusat tahanan sebelum dihantar pulang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top