Dua penuntut kolej tergamak tipu keluarga sebelum dicekup khalwat di bilik hotel

Dua penuntut kolej tergamak tipu keluarga sebelum dicekup khalwat di bilik hotel

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Dua penuntut kolej di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tergamak menipu keluarga dengan memberi alasan mahu menyertai program di kolej semata-mata untuk meluangkan masa di sebuah bilik hotel di Desaru di sini, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berkata, penuntut lelaki dan perempuan berusia 19 tahun itu sepatutnya pulang ke kampung halaman sempena cuti am.

Menurutnya, bagaimanapun mereka dipercayai memberi alasan perlu menghadiri program di kolej namun sebaliknya menghabiskan cuti dengan berdua-duaan sebelum ditahan pihak berkuasa.

“Penguat kuasa JAINJ membuat pemeriksaan di beberapa hotel di Desaru, Kota Tinggi sempena cuti hujung minggu.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, pada awalnya pasangan itu tidak membuka pintu sebelum seorang wanita membuka pintu dengan hanya berbaju-T labuh tanpa berseluar.

“Wanita itu mendakwa rakan wanitanya berada di dalam tandas, bagaimanapun penguat kuasa menemukan seorang lelaki yang tidak berpakaian.

“Hasil siasatan, pasangan itu didapati bukan suami isteri sebaliknya bujang dan masih belajar di kolej di Kota Tinggi.

“Mereka pada awalnya rakan sebelum hubungan bertambah erat,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook (FB).

Jurucakap itu berkata, ibu bapa penuntut berkenaan tampil bagi menjadi penjamin selepas mereka ditahan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top