Data Telefon Bimbit: Lima Telco Tegaskan Komitmen Lindungi Privasi Pelanggan

Data Telefon Bimbit: Lima Telco Tegaskan Komitmen Lindungi Privasi Pelanggan

Semua lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) utama negara menegaskan komitmen masing-masing dalam melindungi privasi data pelanggan susulan kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung inisiatif pengumpulan Data Telefon Bimbit (MPD) untuk tujuan statistik nasional.

CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), U Mobile dan YES masing-masing memberi jaminan bahawa data yang dikongsi kepada MCMC telah dianonimkan, diproses secara agregat dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.

Mereka menegaskan, semua proses tersebut dijalankan dalam persekitaran yang selamat dan tertakluk kepada undang-undang serta protokol perlindungan data yang ketat.

Kelima-lima syarikat turut memaklumkan mereka kekal bekerjasama rapat dengan MCMC dan pihak berkaitan bagi memastikan pematuhan penuh terhadap peraturan serta amalan terbaik dalam pengurusan data peribadi.

CelcomDigi berkata, mereka menegakkan standard tertinggi dalam pelindungan data pelanggan, dengan tumpuan terhadap pemeliharaan kepercayaan yang telah diberikan.

Katanya, mereka telah melaksanakan dasar dan proses tadbir urus data yang berteraskan pematuhan ketat terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 serta semua peraturan berkaitan yang terpakai.

Semua MNO jamin data dikongsi dengan MCMC tidak mengandungi maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.

“Segala perkara yang melibatkan penggunaan data pelanggan berada di bawah pemantauan pengurusan dengan akauntabiliti diselia oleh Pegawai Perlindungan Data kami dan dilaporkan secara berkala kepada Lembaga Pengarah.

“Sekiranya diperlukan, CelcomDigi akan memproses data yang diminta dalam persekitaran selamat kami sendiri dan hanya menyediakan sampel terhad bagi bidang data yang relevan dalam bentuk tanpa nama dan agregat kepada Suruhanjaya,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Maxis pula menegaskan tiada sebarang maklumat pengenalan peribadi diproses atau dikongsi dalam inisiatif tersebut.

Katanya, sebagai sebuah syarikat MNO yang bertanggungjawab, Maxis memberikan keutamaan tertinggi terhadap privasi dan keselamatan data.

“Bagi inisiatif ini yang diminta oleh MCMC, tiada akses kepada pemprosesan atau perkongsian maklumat pengenalan peribadi pada sebarang peringkat. Kesemua data dianonimkan oleh Maxis dan diproses secara agregat dalam persekitaran yang selamat, mematuhi sepenuhnya PDPA 2010.

“Proses-proses dan langkah-langkah kawalan sedia ada telah dilaksanakan untuk memastikan data peribadi pelanggan tidak akan dikompromi. Maxis kekal komited sepenuhnya untuk melindungi data untuk semua pelanggan kami,” katanya.

Sementara itu, TM menjelaskan bahawa semua data yang dikemukakan adalah dalam bentuk anonim dan dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.

Katanya, pengemukaan data itu dilaksanakan di bawah tadbir urus dan protokol keselamatan yang ketat dengan pematuhan sepenuhnya terhadap dasar syarikat yang berkaitan serta undang-undang dan peraturan kawal selia negara.

“TM kekal komited dalam memastikan keselamatan dan privasi data pelanggan terus terpelihara dengan penuh tanggungjawab dan integriti,” katanya.

MNO kekal bekerjasama rapat dengan MCMC bagi menjamin pengurusan data peribadi yang ketat.

Sementara itu, U Mobile dalam kenyataannya menegaskan komitmen terhadap privasi pelanggan dan pematuhan kepada undang-undang data yang menjadi keutamaan penting bagi pihaknya.

Katanya, U Mobile telah menetapkan polisi dan proses bagi memastikan sebarang data yang dikongsi adalah dianonimkan sepenuhnya, diagregatkan dan dikendalikan mengikut undang-undang serta peraturan perlindungan data yang berkuat kuasa.

“Apabila kami berkongsi MPD dengan MCMC, segala maklumat peribadi pelanggan yang boleh dikenal pasti tidak akan dikongsi atau diproses pada bila-bila masa.

“U Mobile kekal komited untuk melindungi privasi pelanggan dan memastikan pematuhan penuh terhadap semua peraturan berkaitan pengurusan data,” katanya.

YES pula mengesahkan bahawa semua data diserahkan dalam bentuk yang telah dianonimkan sepenuhnya bagi tujuan statistik nasional.

Katanya, dalam memenuhi arahan itu, YTL Communications telah mengambil langkah rapi untuk menganonimkan semua data sebelum penyerahan.

“Tiada maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi telah dikongsi dan privasi pelanggan tetap menjadi keutamaan kami.

“Kami kekal komited untuk menyokong inisiatif nasional sambil mengekalkan standard perlindungan data peribadi yang tinggi,” katanya.

Kelmarin, MCMC menegaskan tiada sebarang maklumat peribadi pengguna dikumpul atau didedahkan dalam proses penggunaan MPD yang kini digunakan untuk menjana statistik rasmi negara dalam sektor teknologi maklumat dan pelancongan.

Menurut MCMC, data yang dikumpul digunakan secara eksklusif untuk penjanaan statistik rasmi yang dapat menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti dalam dua sektor utama, iaitu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pelancongan.

Berdasarkan komitmen teguh yang dinyatakan oleh kesemua MNO utama negara, orang ramai tidak perlu bimbang kerana data peribadi mereka kekal dilindungi sepenuhnya, dengan segala proses pemprosesan dan perkongsian data dilakukan secara anonim, terkawal dan mematuhi undang-undang perlindungan data sedia ada.


Scroll to Top