am@hmetro.com.my
Ipoh: Bekas kakitangan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi pembelian empat televisyen pintar, awal tahun ini.
Tertuduh, Mazrul Idham Mad Tahir, 40, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Dia turut berdepan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.
Berdasarkan pertuduhan, Mazrul Idham yang ketika itu berjawatan Pegawai Perhubungan Pendidikan Negeri Perak bagi YPM secara tidak jujur menggunakan dokumen palsu berupa resit pembelian “Cash Bill S2500217 bertarikh 12 Januari 2025 atas nama syarikat Parkway Electronic Centre.
Resit itu adalah atas pembelian empat unit Smart TV melalui Skim Bantuan Persekolahan (SBP) kepada empat sekolah dalam daerah Kuala Kangsar.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Yayasan Pelajaran MARA, Bangunan Sri Kinta, di sini, pada Januari 2025.
Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali serta Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor, manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak sebagai penghubung antara ibu pejabat MARA, institusi pendidikan serta agensi kerajaan negeri.
Tertuduh menerima wang pendahuluan daripada Bahagian Khidmat Komuniti (BKK) YPM berjumlah RM6,000 berkaitan permohonan bantuan Smart TV kepada sekolah, biarpun nilai sebenar bagi keempat-empat unit Smart TV terbabit adalah RM4,937.75.
Kegiatan terbongkar apabila BKK YPM mendapati dokumen akuan penerimaan tidak disediakan oleh tertuduh secara berasingan ketika penyerahan televisyen dibuat.
Keadaan itu menyebabkan tertuduh menyediakan sendiri resit pembelian S2500217 dengan butiran palsu atas nama syarikat Parkway Electronic Centre menggunakan perisian Microsoft Word.
Selain resit palsu, tertuduh turut menyediakan empat dokumen berasingan bagi akuan penerimaan bagi empat sekolah terbabit, di mana empat dokumen akuan penerimaan bantuan unit Smart TV itu juga diketahui tertuduh adalah palsu.
Dalam rayuannya menerusi peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), bapa dua anak itu menyatakan sudah diberhentikan kerja selain pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa mahkamah.
Sharul Azuan bagaimanapun memohon hukuman setimpal, selain menyatakan empat unit televisyen pintar itu yang kini berada di Pejabat SPRM Perak akan dipulangkan kepada penerima yang sepatutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




