Kompleks Logistik MRO Subang dibangunkan dengan RM80 juta

Kompleks Logistik MRO Subang dibangunkan dengan RM80 juta

SUBANG: Kumpulan Mitsui Fudosan (Mitsui Fudosan) dengan kerjasama Malaysia Airports memulakan pembangunan Projek Kompleks Logistik MRO Subang menerusi majlis pecah tanah yang diadakan di Subang Aerotech Park dengan pelaburan bernilai RM80 juta.

Pembangunan kemudahan  seluas 1.78 hektar dengan keluasan lantai kasar (GFA) kira-kira 254,420 kaki persegi itu dijangka siap pada suku ketiga dan beroperasi pada suku keempat 2027.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembangunan itu adalah sebahagian daripada usaha lebih besar kerajaan untuk mengukuhkan ekosistem aeroangkasa dan penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih (MRO) negara dengan menjadikan SZB sebagai hab utama industri berkenaan. 

“Subang merupakan sebahagian daripada misi kami yang lebih besar untuk mengubah Malaysia menjadi hab MRO bagi industri aeroangkasa.

“Ada banyak minat untuk datang ke Malaysia, khususnya di Subang. Akan ada lebih banyak pelaburan daripada pengendali MRO, bukan sahaja dalam industri aeroangkasa malah sektor lain yang berkaitan.

“Kami berharap dapat menarik lebih banyak pelaburan yang seterusnya mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan, khususnya dalam bidang MRO dan teknologi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Kompleks Logistik MRO Subang, semalam.

Anthony berkata, model kerjasama itu membolehkan Malaysia Airports memanfaatkan aset strategiknya di kawasan lapangan terbang sambil mendapatkan kepakaran rakan kongsi yang berpengalaman dalam pembangunan dan operasi kompleks logistik lapangan terbang. 

Beliau turut memaklumkan kira-kira 50 peratus ruang di kompleks logistik berkenaan telah mempunyai komitmen penyewa yang kebanyakannya terdiri daripada syarikat dalam sektor MRO. 

Pengarah Urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia, Masayoshi Saito berkata, Malaysia mempunyai kelebihan geografi yang kukuh sebagai hab logistik berpotensi di rantau ASEAN. 

“Selain itu, Kompleks Logistik MRO Subang terletak di dalam Subang Aerotech Park iaitu hab utama bagi industri aeroangkasa dan penerbangan perniagaan, di samping menawarkan sambungan yang sangat baik ke pusat bandar Kuala Lumpur.

“Kumpulan Mitsui Fudosan telah membangunkan dan mengendalikan lebih daripada 50 kemudahan logistik di Jepun dan luar negara,” ujarnya.

Kemudahan itu dibangunkan oleh MFMA Industrial Sdn. Bhd., sebuah syarikat usaha sama antara Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn. Bhd. dan Malaysia Airports (Subang) Sdn. Bhd.

Pelaburan strategik itu juga bertujuan menyokong pertumbuhan perniagaan berkaitan penerbangan dan aeroangkasa di kawasan Lapangan Terbang Subang, sekali gus memberikan akses mudah kepada pengendali aeroangkasa, penerbangan dan logistik yang sedia ada di seluruh Lembah Klang.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, Subang sejak sekian lama menjadi lokasi tumpuan syarikat aeroangkasa dan penerbangan serta pertumbuhan berterusan ekosistem ini bergantung kepada penyediaan infrastruktur sokongan yang sesuai.

“Projek Kompleks Logistik MRO Subang memperluaskan penawaran hartanah kami di Subang Aerotech Park. 

“Selain pajakan kecil tanah dan penyelesaian bina mengikut keperluan, kami kini turut menawarkan kemudahan siap dibina bagi memenuhi keperluan pelbagai perniagaan, termasuk pemain industri dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS),” ujarnya.

Malaysia kini merupakan pemain MRO ketiga terbesar di rantau Asia Pasifik, mencerminkan kekuatan dan kematangan industri aeroangkasanya. – UTUSAN

Scroll to Top