BANGKOK: Kabinet Thailand memberi Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, kuasa baru bertujuan mengekang COVID-19, namun dikhuatiri dijadikan alat politik bagi menekan kumpulan berbeza pendapat.
Negara itu kini bergelut dengan gelombang ketiga yang menyaksikan lonjakan lebih dari 34,000 kes sejak wabak itu dikesan di daerah lokasi hiburan malam di ibu kota.
Pemakaian pelitup muka dijadikan mandatori dan sekatan pergerakan dilaksanakan, namun gagal mengurangkan jumlah kes dan angka kematian, menyebabkan pemerintahan Prayut terus dikecam kerana gagal mengendalikan wabak itu.
Thailand juga lambat melaksanakan program vaksinasi untuk penduduk berbanding negara jiran, di mana sehingga kini hanya 1.2 juta orang sudah divaksin sejak kempen dilancarkan dua bulan lalu.
Selasa lalu, Kabinet meluluskan resolusi memindahkan portfolio beberapa menteri kepada perdana menteri, sekali gus meletakkan Prayut bertanggungjawab terhadap undang-undang seperti Akta Pengendalian Senjata hingga Undang-Undang Jenayah Komputer.
Turut dikritik, ialah perluasan kuasa perdana menteri ke atas undang-undang kontroversi berkaitan pengawasan dan penapisan maklumat oleh kerajaan.
Langkah itu memungkinkan Prayut ‘memberi keizinan, melulus, mengeluarkan arahan dan berkuasa untuk mencegah, memperbaiki, menekan, dan menghalang sebarang bentuk arahan dalam keadaan darurat’.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang disiarkan di Warta Diraja, sebuah laman sesawang kerajaan yang mengemas kini muat naik undang-undang baru.
Pihak berkuasa menegaskan perluasan kuasa itu hanya bertujuan untuk menangani krisis kesihatan.
Pemimpin parti pembangkang, Move Forward Party, mengkritik Prayut Rabu lalu dan mendakwa pentadbiran Perdana Menteri itu ‘tidak cekap’ untuk menangani wabak coronavirus.
Pemimpin pembangkang, Pita Limjaroenrat, berkata kerajaan tidak dapat menyelesaikan krisis politik serta ekonomi dan kini berhadapan krisis kepercayaan rakyat.
“Sudah tiba waktunya, Jeneral Prayut berhenti memegang kekuasaan, yang bukan miliknya sejak awal dan mengembalikan kuasa kepada rakyat,” katanya.
Tindakan kumpulan itu dilihat sedikit lewat kerana kesan penyebaran COVID-19 selain tindakan kerajaan sejak kebelakangan ini menahan pemimpin prodemokrasi dan mengenakan tuduhan jenayah.
Penganalisis politik, Titipol Pakdeewanich, berkata rang undang-undang itu tidak sepenuhnya berkaitan dengan COVID-19, sebaliknya berpotensi dijadikan senjata politik oleh kerajaan.
“Mereka ingin memiliki kuasa mutlak seperti yang mereka miliki sebelum ini dengan menekan demokrasi,” katanya. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




