Rose cipta sejarah gelaran berganda di Glasgow 2026

Rose cipta sejarah gelaran berganda di Glasgow 2026

Glasgow: Atlet Australia, Rose Davies mencipta sejarah apabila melengkapkan gelaran berganda acara 5,000 meter (m) dan 10,000m, manakala juara Olimpik lompat kijang, Thea LaFond, akhirnya menghadiahkan pingat emas pertama buat Dominica di Sukan Komanwel.

Rose mengetepikan cabaran rakan senegara, Jessica Hull, di pecutan 400m terakhir selepas kedua-duanya meninggalkan pelari Scotland, Megan Keith, yang mempertahankan kedudukan untuk meraih gangsa di hadapan penyokong tuan rumah.

Dengan menambah gelaran 5,000m kepada emas 10,000m yang dimenanginya awal minggu ini, Rose muncul sebagai atlet wanita pertama melengkapkan gelaran berganda acara jarak jauh dalam sejarah Sukan Komanwel.

Thea pula tiba di Sukan Komanwel Glasgow 2014 ketika masih remaja.

Selepas meraih gangsa di Gold Coast pada edisi 2018 dan perak di Birmingham empat tahun lalu, atlet berusia 32 tahun itu akhirnya menghadiahkan pingat emas pertama Sukan Komanwel buat negara kecil Caribbean, Dominica.

“Perasaan ini sangat bercampur-baur. Bahagian yang manis ialah saya sudah lama menantikan detik ini. Kini saya sudah memiliki setiap warna pingat Sukan Komanwel dan ia sesuatu yang menakjubkan kerana dapat mencipta sejarah buat Dominica.

“Bahagian yang sukar pula ialah ini mungkin Sukan Komanwel terakhir saya. Di sinilah semuanya bermula dan mungkin di sinilah juga pengakhiran perjalanan saya,” kata Thea.

Dua atlet Jamaica, Ackelia Smith dan Shantae Foreman, melengkapkan kedudukan podium acara lompat kijang.

Devynne Charlton menghadiahkan emas buat Bahamas dalam acara 100m lari berpagar wanita selepas menewaskan Megan Simmonds dari Jamaica, manakala juara bertahan dari Nigeria, Tobi Amusan, sekadar membawa pulang gangsa.

Jamaica mengecap kejayaan menerusi Samantha Hall yang memenangi emas acara lempar cakera wanita.

Sementara itu, juara 100m lelaki dari Cameroon, Emmanuel Eseme, gagal melengkapkan gelaran berganda selepas tidak layak ke final 200m.

Atlet Nigeria, Chukwuebuka Enekwechi, memenangi emas lontar peluru lelaki menerusi lontaran sejauh 21.07m untuk menewaskan juara bertahan New Zealand, Tom Walsh, manakala Scott Lincoln dari England meraih gangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top