harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: ‘Kak Long’ menjadi satu-satunya pegawai wanita yang berjaya menamatkan latihan asas pasukan elit Polis Diraja Malaysia, Unit Tindak Khas (UTK) Siri 1/2025 dan dianugerahkan baret maron, hari ini.
Pegawai UTK terbabit dikenali Inspektor Intan, 29, berkata, dia memang nekad membuktikan golongan wanita mampu mengatasi cabaran demi bergelar operatif pasukan khas itu.
Menurutnya, sebagai anak sulung daripada lima beradik, dia mahu mengubah nasib keluarga dengan menyertai pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.
Katanya, pelbagai cabaran ditempuhi sepanjang kira-kira empat bulan mengharungi latihan asas berjaya diharungi berkat doa ibu, bapa yang menjadi antara pendorong utama.
“Nak cerita dugaan ini, sebagai satu-satunya (pelatih) perempuan dalam kalangan lelaki memang tidak mudah untuk saya latihan asas ini.
“Jujur saya cakap, sepanjang tiga bulan latihan memang banyak kali rasa nak putus ada, rasa nak balik, tetapi saya bersyukur sebab kawan-kawan lain beri semangat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Beret UTK dan Penutupan Kursus Asas Kawalan Keselamatan di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Deputi Komisioner Srikumar Madhavan Nair.
Sementara itu, pasangan kembar Konstabel Faiz dan Konstabel Farhan, 24, turut dianugerahkan baret maron selepas berjaya menjalani ‘penderaan’ fizikal dan mental demi bergelar antara yang terbaik dalam PDRM.
Faiz berkata, mereka meminati badan beruniform sejak zaman sekolah malah menyertai pasukan Kor Kadet Polis.
“Kami merancang untuk masuk polis selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kemudian selepas berkhidmat selama tiga tahun, kami merancang pula untuk sertai UTK.
“Sebelum ini saya bertugas sebagai pemandu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pahang dan mahu mencabar diri untuk sertai pasukan khas ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

