
PDRM, Kelantan Darul Naim, Kuala Lumpur City
FIRST Instance Body (FIB) mengesahkan bahawa Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC telah diberikan lesen kebangsaan penuh selepas berjaya memenuhi semua keperluan dokumentasi kewangan yang ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, menjelaskan bahawa ketiga-tiga kelab berkenaan sebelum ini hanya diberikan lesen secara bersyarat dan telah diberikan tempoh sehingga 31 Mei untuk mengemukakan dokumen kewangan tambahan, selaras dengan Artikel 8(l) dalam peraturan pelesenan tersebut.
“FIB hari ini mengesahkan bahawa semua dokumentasi tambahan telah diterima daripada ketiga-tiga kelab tersebut sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
“Setelah penelitian dan penilaian rapi dilakukan terhadap dokumen yang dikemukakan, FIB bersetuju untuk memberikan lesen kebangsaan penuh kepada Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC,” katanya pada Khamis.
Dengan kelulusan itu, jelas beliau, ketiga-tiga kelab berkenaan kini sah layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2025/26.
FIB turut merakamkan penghargaan atas kerjasama erat dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga kelab tersebut sepanjang proses pelesenan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, FIB memaklumkan bahawa sebelum ini sebanyak 12 kelab lain telah lebih awal menerima lesen kebangsaan, termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.
Selain itu, dua kelab dari saingan Liga A1 Liga Bolasepak Amatur (AFL), Melaka FC dan Imigresen FC turut memperoleh lesen kebangsaan luar biasa.
LIGA SUPER 2025/26
1.Johor Darul Ta’zim FC (JDT)
2. Selangor FC
3. Penang FC
4. Kuching City FC
5. Sabah FC
6. Terengganu FC
7. Sri Pahang FC
8. Negeri Sembilan FC
9. Melaka FC
10. Imigresen FC
11. Kuala Lumpur City FC
12. Kelantan Darul Naim FC
13. PDRM FC
14. Brunei DPMM FC