am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: PAS berpandangan sudah tiba masanya Muafakat Nasional 2.0 dijayakan bagi memperkukuh kedudukan politik Melayu serta umat Islam menjelang beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti Melayu wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah.
Beliau berkata, pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu yang dijangka diikuti beberapa negeri lain membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baharu dalam landskap politik negara, sekali gus berpotensi mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam dan Bumiputera.
Malah, katanya, perkembangan itu turut berupaya membentuk kekuatan politik Bumiputera yang lebih kukuh dan menyeluruh, bukan sahaja di Semenanjung, malah merangkumi Sabah dan Sarawak.
“Usaha penyatuan ini perlu disegerakan, bermula dengan mendepani PRN Johor dan terus diperkukuh pada masa hadapan.
“Parti-parti politik Melayu pernah bersama dalam sejarah negara. Kita pernah menyaksikannya selepas peristiwa 13 Mei, apabila Barisan Nasional terbentuk.
“Muafakat Nasional pula terbentuk akibat kebimbangan terhadap usaha kerajaan PH ketika itu yang dilihat boleh menghakis keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia. Kini, sudah sampai masanya gagasan Muafakat Nasional 2.0 dijayakan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, penyatuan itu hanya dapat dicapai sekiranya wujud muafakat dan toleransi antara parti-parti politik utama Melayu-Islam di negara ini.
Beliau berkata, beberapa isu yang menyentuh kepentingan orang Melayu dan umat Islam perlu diberi perhatian serius, termasuk isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), bantahan terhadap titah Raja-Raja Melayu, penukaran status tanah di kawasan majoriti bukan Melayu serta cabaran terhadap enakmen syariah negeri-negeri.
Katanya, perpecahan politik Melayu dan kegagalan menyatukan kekuatan sedia ada memberi kesan kepada kedudukan politik orang Melayu pada hari ini.
“Hal ini seharusnya membuka mata pemimpin utama politik Melayu, khususnya PAS dan UMNO, untuk segera bertindak sebelum nasi menjadi bubur,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menegaskan bahawa Islam perlu menjadi paksi utama dalam usaha penyatuan politik Melayu kerana agama itu merupakan faktor yang menyatukan ummah.
“PAS amat mengharapkan semua parti utama, khususnya parti-parti Melayu di negara ini, dapat berfikir secara serius, berlapang dada, mengenepikan perbezaan serta meletakkan masa depan bangsa dan ummah sebagai keutamaan.
“Insya-Allah, apabila Melayu-Islam bersatu, kita akan menjadi kuat dan mampu melindungi hak semua pihak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




