Syarikat swasta disaran sokong usaha memperkasa PMKS

Syarikat swasta disaran sokong usaha memperkasa PMKS

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyeru lebih banyak syarikat swasta untuk tampil memberikan sokongan melalui pembiayaan inovatif dan mampan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, langkah berkenaan selari dengan matlamat kerajaan untuk memperkasa PMKS sebagai tunjang kepada ekonomi negara.

“PMKS adalah tunjang ekonomi negara melalui sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sekiranya lebih banyak PMKS dapat dibantu, sudah tentu sumbangan mereka terus meningkat dan menyumbang secara lebih signifikan kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program RM50 juta Pembiayaan Berasaskan Hasil oleh Dattel Asia Group sempena OHSEM360 2025, di sini, hari ini.

Ewon berkata, pembiayaan alternatif melalui program seumpama itu adalah inisiatif yang menyediakan peluang lebih luas kepada usahawan serta PMKS mendapatkan akses kepada modal perniagaan.

“Kerajaan sentiasa mengalu-alukan dan menyambut baik sebarang usaha pihak swasta dalam mencipta nilai dan meletakkan asas untuk memberikan kesan jangka panjang yang lebih signifikan terhadap ekosistem perniagaan PMKS serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Inilah antara hasrat kerajaan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030 iaitu memperluas akses kepada pasaran modal bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing PMKS di peringkat domestik dan global,” katanya.

Beliau berkata inisiatif oleh Dattel Asia Group itu merupakan contoh nyata bagaimana inovasi kewangan dan teknologi boleh memberi kesan langsung kepada pertumbuhan dan kelangsungan usahawan serta PMKS.

“Ia juga menunjukkan bahawa kerajaan dan sektor swasta memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan mampan demi manfaat rakyat dan ekonomi negara,” katanya.

Ewon berkata perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Big Data dan automasi telah mengubah landskap perniagaan global, dan PMKS tidak lagi boleh bergantung kepada cara tradisional semata-mata.

“Seiring dengan perkembangan teknologi, usahawan dan PMKS tidak boleh beroperasi secara tradisional. Mereka perlu mengadaptasi penggunaan teknologi yang bersesuaian untuk kekal berdaya saing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top