Kumpulan retro-hip MASDO bakal menghangatkan pentas Festival Muzik OOO 2025 pada 1 Julai ini di Heritage Valley, Kuala Lumpur, dalam sebuah persembahan eksklusif yang mereka anggap sebagai ‘pemanas badan’ sebelum konsert ulang tahun ke-10 mereka pada 30 Ogos nanti.
Menurut Ali yang mewakili Ceri dan Mawi, penyertaan mereka dalam festival ini adalah langkah strategik untuk mencipta momentum menjelang konsert berskala besar mereka.
“Line-up untuk festival ini memang padu, jadi kami tak mahu lepaskan peluang. Ia bukan saja peluang untuk berhibur, tapi juga pemanas enjin sebelum ‘berperang’ Ogos nanti. Insya-Allah, ada kejutan yang akan kami umumkan khas untuk peminat,” katanya penuh semangat.
Festival Muzik OOO 2025 merupakan hasil kolaborasi OPPO dan Warner Music Malaysia yang menghimpunkan barisan artis popular tanah air seperti Noh Salleh, Bunga, Luqman Podolski, Zynakal, TUJU, Naki, emptypage., Iman Troye, FUGŌ, Jo Vynn, Priscilla Abby dan Steadygang. Ia menjanjikan malam yang meriah dengan gabungan genre pop, hip-hop, indie dan rock, semuanya dalam satu acara yang akan berlangsung dari 6 petang hingga 11.30 malam.

Menambah lagi warna pada malam tersebut, festival ini turut menjadi platform pelancaran rasmi siri telefon pintar baharu OPPO Reno. Ia bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu perayaan gaya hidup yang menyatukan muzik, teknologi dan kreativiti dalam satu pentas dinamik.
Pengunjung juga bakal disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk gerai makanan, minuman, serta pameran interaktif daripada jenama seperti Proton e.MAS yang turut memperkenalkan siri digital khas ‘Roda Karaoke’. Siri ini menampilkan artis-artis festival menyanyi dalam gaya carpool, termasuk MASDO sendiri, memberi peluang kepada peminat untuk melihat sisi santai bintang kesayangan mereka.
Tiket festival hanya RM50, jadi buat peminat MASDO dan peminat muzik Malaysia secara umum, inilah malam yang tak wajar dilepaskan. OOO 2025 bakal jadi pemula kepada musim muzik paling meriah tahun ini!




