Jemaah haji warga emas terpedaya, kerajaan Johor janji bantu

Jemaah haji warga emas terpedaya, kerajaan Johor janji bantu

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kerajaan negeri akan memberikan komitmen sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menyelesaikan isu penipuan pakej haji yang didakwa membabitkan 47 jemaah warga emas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya sedih apabila isu penipuan membabitkan ibadah haji terus berlaku.

Beliau berkata, lebih mendukacitakan apabila mangsa terbabit terdiri daripada jemaah warga emas serta mereka yang berada dalam kondisi kesihatan memerlukan perhatian dan rawatan.

“Mereka didakwa dikurung dan diarahkan melalui laluan berbahaya bagi tujuan mengerjakan haji tanpa kebenaran dan visa yang sah.

“Kita menasihati waris kepada jemaah haji yang terpedaya supaya terus bersabar dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan lanjut.

“Kerajaan negeri juga bersedia memberikan bantuan yang diperlukan oleh pihak berkuasa bagi penyelesaian isu ini, termasuk mendidik masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam mengelakkan insiden seperti ini berterusan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Fared berkata, pihaknya meminta orang ramai supaya sentiasa percaya dan menggunakan kepakaran serta khidmat nasihat Tabung Haji dalam urusan menunaikan ibadah haji.

“Tiada langkah pintas bagi menunaikan rukun Islam kelima. Saya sendiri mengikuti rapat perkembangan kes ini dan mendoakan keselamatan jemaah yang terjejas sentiasa terjaga,” katanya.

Semalam, media melaporkan hasrat 47 jemaah haji warga emas untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.

Dilaporkan, jemaah yang terpedaya dengan janji manis mendakwa berdepan realiti kejam apabila dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top