Bukan sekadar gelaran

Bukan sekadar gelaran

Ibadah haji sejak dahulu hingga kini tetap sama daripada sudut rukun, syarat dan maksud pengabdiannya kepada Allah SWT. Tawaf masih mengelilingi Kaabah, sai masih mengingatkan kita kepada pengorbanan Hajar, wukuf di Arafah tetap menjadi kemuncak haji, melontar jamrah masih simbol penentangan terhadap bisikan syaitan, dan tahalul tetap lambang keluarnya manusia daripada ego diri menuju ketaatan.

Namun, yang berbeza antara haji dahulu dan haji kini ialah suasana, kemudahan, cabaran, pengurusan, teknologi dan sikap sebahagian manusia dalam memaknakan ibadah agung ini.

Dahulu, perjalanan haji adalah perjalanan yang panjang, sukar dan penuh pengorbanan. Ada yang belayar berbulan-bulan, meninggalkan keluarga tanpa kepastian bila akan kembali. Bekalan terbatas, kesihatan diuji, komunikasi terputus dan risiko perjalanan amat tinggi. Kini, jemaah menaiki kapal terbang, mendapat bimbingan tersusun, penginapan lebih teratur, rawatan kesihatan lebih mudah, aplikasi digital membantu urusan perjalanan dan komunikasi dengan keluarga hanya di hujung jari. Semua ini adalah nikmat yang wajib disyukuri. Namun, nikmat kemudahan tidak seharusnya melemahkan ruh pengorbanan. Semakin mudah perjalanan zahir, semakin besar tuntutan memperdalam perjalanan batin.

Allah SWT berfirman dalam Surah ali Imran ayat 97 yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Ayat ini meletakkan asas penting bahawa haji bukan sekadar keinginan, tetapi kewajipan bagi yang memiliki istito’ah. Istito’ah bukan hanya mampu daripada sudut wang, bahkan merangkumi kemampuan fizikal, mental, keselamatan, ilmu, kesihatan dan ketenangan mengurus tanggungjawab. Maka, sesiapa yang masih muda, sihat, berkemampuan dan memenuhi syarat, janganlah bertangguh tanpa sebab munasabah. Haji bukan hanya ibadah orang tua, ia adalah kewajipan bagi setiap Muslim yang mencapai kemampuan.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA: “Islam dibina atas lima perkara, iaitu penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad SAW ialah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan haji bukan ibadah sampingan, tetapi salah satu tiang besar agama. Malangnya, dalam kehidupan moden, ada yang mampu melancong jauh, membeli kenderaan mewah, berbelanja besar untuk gaya hidup, tetapi masih menangguhkan daftar haji atau persediaan haji.

Haji dahulu mengajar sabar melalui kepayahan perjalanan. Haji kini pula mengajar sabar melalui kesesakan, peraturan, disiplin masa, kepelbagaian manusia, pengurusan emosi dan ujian sikap. Walaupun kemudahan bertambah, cabaran hati tetap sama. Bahkan mungkin lebih sukar kerana telefon pintar boleh menjadikan ibadah bertukar menjadi pentas paparan. Tidak salah merakam kenangan, tetapi jangan sampai kamera lebih banyak diangkat daripada tangan berdoa. Tidak salah berkongsi pengalaman, tetapi jangan sampai pulang haji hanya membawa album gambar, bukan akhlak yang berubah.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud: “Haji itu pada bulan-bulan yang dimaklumi. Sesiapa yang mewajibkan dirinya mengerjakan haji, janganlah melakukan rafath, jangan berbuat fasik dan jangan berbantah-bantahan dalam masa mengerjakan haji.” Ayat ini sangat mendidik jiwa. Allah tidak hanya menyebut pergerakan ibadah, tetapi menyebut adab. Ini bermakna haji yang mabrur bukan sekadar sah pada hukum, tetapi membentuk lidah terkawal, emosi matang, mata yang tunduk, hati bersih dan hubungan sesama manusia lebih harmoni.

Dalam suasana haji kini, pengurusan fizikal amat penting. Jemaah perlu menjaga kesihatan, melatih stamina, mengawal pemakanan, mendapatkan nasihat perubatan dan tidak memandang ringan keperluan tubuh. Ibadah haji memerlukan berjalan jauh, menunggu lama, bergerak dalam cuaca mencabar dan berhadapan jutaan manusia. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: “Sesungguhnya Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang lemah, namun pada kedua-duanya tetap ada kebaikan.” (Riwayat Muslim)

Baginda SAW turut mengingatkan setiap Mukmin bersungguh-sungguh terhadap perkara bermanfaat, memohon pertolongan Allah dan tidak bersikap lemah. Hadis ini memberi isyarat kekuatan jemaah haji bukan hanya pada tubuh badan, tetapi juga ilmu, kesabaran, keteguhan mental, ketahanan emosi dan kebergantungan kepada Allah sepanjang ibadah berkenaan.

Pengurusan mental juga tidak kurang penting. Haji menghimpunkan manusia daripada pelbagai negara, budaya, bahasa dan perangai. Ada yang menolak, ada yang lambat, ada yang tidak memahami arahan, ada yang mencabar kesabaran. Maka haji adalah madrasah pengurusan emosi. Orang yang benar-benar berhaji tidak pulang dengan hati yang mudah marah, cepat menghukum dan suka bertengkar. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: “Orang yang kuat bukanlah orang yang mampu menewaskan lawannya dalam pergelutan, tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hadis ini sangat dekat dengan realiti haji kini apabila jemaah berhadapan kesesakan, kepenatan, perbezaan budaya, kelewatan, salah faham dan pelbagai ujian manusia. Maka, haji yang mendidik bukan sahaja menjadikan seseorang mampu menyempurnakan manasik, tetapi juga menahan lidah, menenangkan hati dan mengawal reaksi ketika diuji.

Selain itu, pengurusan spiritual pula adalah inti segala-galanya. Haji bukan pakej pelancongan agama. Ia perjalanan tauhid. Talbiah yang diulang, ‘Labbaikallahumma labbaik’ adalah ikrar bahawa kita datang menyahut panggilan Allah, bukan panggilan status sosial. Pakaian ihram menyamakan si kaya dan si miskin, pemimpin dan rakyat, profesor dan pekerja biasa. Tiada jenama yang boleh dibanggakan, tiada pangkat yang boleh dibawa ke hadapan Allah. Semua berdiri sebagai hamba. Inilah tadabbur besar haji iaitu manusia mulia bukan kerana gelaran, tetapi takwa.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: “Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.” Maka gelaran haji dan hajah sepatutnya menjadi peringatan amanah, bukan lambang kemegahan. Pulang haji bermaksud pulang sebagai suami yang lebih penyayang, isteri yang lebih sabar, ibu bapa yang lebih mendidik, anak yang lebih berbakti, pekerja yang lebih amanah, pemimpin lebih adil dan anggota masyarakat yang lebih bermanfaat.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: “Di antara satu umrah dengan umrah yang lain menjadi penghapus dosa antara kedua-duanya, manakala haji mabrur tidak ada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menegaskan nilai tertinggi haji bukan terletak pada gelaran sosial, gambar kenang-kenangan atau kisah perjalanan semata-mata, tetapi pada penerimaan Allah SWT dan perubahan hidup selepas pulang. Haji mabrur sepatutnya melahirkan insan lebih jujur, lebih sabar, lebih tawaduk, lebih menjaga solat, lebih memuliakan keluarga dan lebih bermanfaat kepada masyarakat.

Para ulama menjelaskan bahawa haji mabrur ialah haji diterima Allah yang tandanya terlihat pada perubahan hidup selepas pulang. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa antara tanda kebaikan sesuatu ibadah ialah seseorang menjadi lebih baik daripada keadaannya sebelum beribadah.

Akhirnya, perbezaan haji dahulu dan haji kini mengajar kita satu hakikat iaitu bentuk perjalanan boleh berubah, tetapi tujuan ibadah tidak pernah berubah. Teknologi boleh membantu, pengurusan boleh memudahkan, kemudahan boleh menyelesakan, tetapi hati tetap perlu tunduk kepada Allah. Haji yang benar bukan berakhir di lapangan terbang, tetapi bermula semula dalam kehidupan harian. Jika selepas haji seseorang lebih jujur, lebih sabar, lebih menjaga solat, lebih peduli keluarga, lebih menyumbang kepada masyarakat dan lebih takut kepada Allah, maka itulah ole-ole terbesar dari Tanah Suci. Haji bukan sekadar membawa balik gelaran, tetapi ialah membawa pulang kemabruran dan jiwa yang kembali kepada Tuhan.

Penulis pensyarah Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top