Bolehkah semak sejarah 'ganas' pasangan?

Bolehkah semak sejarah 'ganas' pasangan?

Kes seorang wanita yang terlantar selepas dipukul suami ketika hamil, disusuli laporan keganasan terhadap isteri lain oleh lelaki yang sama beberapa tahun kemudian, sepatutnya membuka mata dalam cara kita menangani keganasan rumah tangga. Dalam laporan terbaharu, polis mengesahkan suspek yang dipercayai mencederakan isterinya sehingga keguguran kandungan 12 minggu ialah individu sama yang pernah dikaitkan dengan kes pukul isteri sehingga koma di Johor pada 2021.

Lebih membimbangkan, laporan media turut menyebut suspek pernah berkahwin beberapa kali, manakala siasatan awal mendapati semua isteri dan bekas isterinya bekerja dalam sektor awam.

Kes seperti ini menimbulkan persoalan besar yang tidak boleh lagi ditolak tepi. Sebelum bernikah, adakah seseorang berhak mengetahui sama ada bakal pasangan pernah mempunyai sejarah keganasan rumah tangga?

Jawapannya pada hari ini masih mengecewakan. Malaysia belum mempunyai sistem awam khusus yang membolehkan seseorang menyemak sejarah keganasan rumah tangga bakal pasangan sebelum berkahwin.

Ketiadaan sistem itu menjadikan bakal pasangan bergantung kepada maklumat tidak rasmi, cerita kenalan, semakan media sosial atau panduan viral yang belum tentu sahih. Dalam isu yang melibatkan keselamatan diri, nyawa dan masa depan rumah tangga, bergantung kepada kebetulan dan nasib semata-mata tidak memadai.

Jurang besar

Malaysia sebenarnya mempunyai kerangka perlindungan untuk mangsa keganasan rumah tangga. Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan laluan seperti Perintah Perlindungan Kecemasan, Perintah Perlindungan Interim dan Perintah Perlindungan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Namun, mekanisme itu lazimnya berfungsi selepas mangsa berdepan ancaman, kecederaan atau laporan dibuat. Ia penting, tetapi bersifat reaktif dan bukannya sistem amaran awal untuk mencegah individu lain daripada memasuki sebuah hubungan yang berisiko. Di sinilah jurang besar yang perlu dilihat. Negara mempunyai saluran bantuan selepas keganasan berlaku, tetapi belum mempunyai kaedah utama yang membolehkan seseorang mengetahui risiko keganasan sebelum membuat keputusan besar seperti berkahwin.

Kes berulang membuktikan masalah ini bukan teori. Apabila seseorang yang pernah dikaitkan dengan keganasan serius didakwa boleh membina hubungan baharu tanpa mekanisme semakan yang jelas, maka risiko itu berpindah daripada seorang mangsa kepada mangsa seterusnya.

CGC tidak cukup

Ada yang mungkin mencadangkan Sijil Kelakuan Baik atau Certificate of Good Conduct (CGC) sebagai jalan penyelesaian. Dokumen ini memang merupakan dokumen rasmi paling hampir kepada semakan rekod jenayah, tetapi ia bukan alat khusus semakan pasangan sebelum berkahwin.

Panduan rasmi e-Konsular menyatakan CGC mengesahkan seseorang tidak mempunyai rekod salah laku atau jenayah sepanjang tempoh menetap di Malaysia, namun permohonan hanya boleh dibuat oleh individu itu sendiri. Prosesnya juga mengambil masa 30 hingga 90 hari bekerja dan dikenakan bayaran RM20.

Had terbesar CGC ia tidak membuktikan seseorang tidak pernah mendera. Banyak kes keganasan rumah tangga tidak dilaporkan, diselesaikan secara keluarga, ditarik balik atau tidak berakhir dengan sabitan jenayah.

Lebih penting, bakal pasangan tidak boleh sesuka hati memohon CGC bagi pihak orang lain. Maka, dokumen ini mungkin berguna sebagai bukti rasmi terhad, tetapi tidak boleh dianggap sistem semak keselamatan sebelum perkahwinan.

Mitos semakan pasangan

Satu lagi salah faham yang perlu diperbetulkan ialah dakwaan bahawa orang ramai boleh menggunakan e-Syariah untuk menyemak rekod pasangan secara bebas. Panduan rasmi MyGovernment menyatakan semakan status kes Syariah hanya membolehkan seseorang melihat status kes sendiri, bukan kes orang lain.

Ini bermakna e-Syariah tidak wajar dianggap sebagai alat terbuka untuk menyaring latar belakang bakal pasangan. Dakwaan sebaliknya yang tersebar melalui blog, media sosial atau panduan tidak rasmi perlu dibaca dengan berhati-hati.

Masalahnya, apabila tiada sistem rasmi, masyarakat akan mencari jalan sendiri. Ada yang percaya kepada tangkap layar, carian nama, nombor kad pengenalan atau cerita orang ketiga sedangkan semua itu belum tentu tepat, lengkap atau sah dari sudut undang-undang.

Perlu sistem terkawal

Malaysia tidak perlu membina sistem yang terlalu terbuka sehingga melanggar privasi atau membuka ruang fitnah. Apa yang diperlukan ialah sistem amaran awal yang terkawal, sah dan dikendalikan oleh pihak berkuasa.

Model seperti Domestic Violence Disclosure Scheme atau Clare’s Law di United Kingdom boleh dijadikan rujukan. Di bawah skim itu, polis boleh mendedahkan maklumat tertentu kepada individu berisiko melalui pendekatan Right to Ask dan Right to Know.

Namun, Malaysia tidak boleh sekadar menyalin model luar negara. Sistem tempatan perlu mengambil kira undang-undang privasi, struktur keluarga, bidang kuasa polis, mahkamah sivil, mahkamah Syariah dan agensi kebajikan.

Akses juga tidak semestinya diberikan secara bebas kepada semua orang. Ia boleh dilaksana melalui permohonan rasmi dan penilaian risiko.

Masa bertindak

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilaporkan mahu mendapatkan senarai pesalah keganasan rumah tangga daripada kementerian dan agensi lain kerana kementerian itu belum mempunyai rekod sendiri mengenai pesalah berulang dan mangsa. Menteri berkaitan juga menyatakan terdapat 5,507 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pada 2023, 7,116 kes pada 2024 dan 7,391 kes pada 2025.

Angka itu menunjukkan keganasan rumah tangga bukan isu terpencil. Ia isu keselamatan awam, kesihatan keluarga dan keadilan sosial yang menuntut tindak balas lebih tersusun.

Malaysia sebenarnya sudah mempunyai contoh pangkalan data terhad melalui Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak dalam Daftar Kanak-Kanak di bawah JKM, walaupun skopnya hanya untuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan aksesnya tidak terbuka bebas kepada umum.

Ini membuktikan negara mampu membina pangkalan data berpusat dengan akses terkawal jika ada asas undang-undang yang jelas.

Jika kanak-kanak boleh dilindungi melalui sistem semakan tertentu, mangsa berpotensi menghadapi keganasan rumah tangga juga wajar diberi mekanisme perlindungan awal. Bezanya, sistem untuk keganasan rumah tangga perlu dirangka dengan teliti supaya tidak menjadi alat membalas dendam, memfitnah atau menghukum seseorang tanpa proses yang adil.

Cinta, restu keluarga dan persediaan majlis tidak memadai jika sejarah keganasan yang serius boleh terus tersembunyi daripada orang yang bakal berkongsi hidup dengan pelaku.

Sudah tiba masanya Malaysia bergerak daripada budaya menasihatkan mangsa supaya ‘berhati-hati’ kepada sistem yang benar-benar membantu mereka membuat keputusan dengan maklumat yang sah.

Mungkin juga, pihak swasta boleh membangunkan sistem seperti SCRUT, yang merupakan perkhidmatan semakan sejarah kenderaan di Malaysia yang membantu bakal pembeli kereta terpakai dan recond daripada ditipu penjual tidak jujur. Sistem semakan sejarah keganasan rumah tangga ini dapat mencari dan menghimpunkan maklumat terbuka seperti di akhbar dan internet yang mungkin sukar di himpunkan secara manual.

Kes berulang membuktikan amaran awal bukan lagi pilihan tambahan, tetapi keperluan mendesak.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top