mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya diingatkan supaya tidak terlalu selesa walaupun kini berada di kedudukan terbaik untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi selepas membenam Vietnam 4-0, baru-baru ini.
Kemenangan luar biasa di Stadium Nasional Bukit Jalil itu bukan sahaja menggamatkan bola sepak Asia Tenggara, malah menghantar isyarat jelas bahawa Malaysia kini bukan lagi pasukan yang boleh dipandang enteng.
Namun, di sebalik sorakan kegembiraan, sudah pastinya ada amaran yang tidak boleh diabaikan malah mungkin boleh menafikan Malaysia untuk beraksi di pentas Piala Asia kelak.
Media Vietnam, SOHA pantas menyarankan langkah pantas kepada Naga Emas untuk mendapatkan pemain naturalisasi dan warisan bagi menyaingi semula kehebatan Harimau Malaya yang kini gah menerusi kemasukan pemain seperti Joao Figueiredo,Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Facundo Garces.
Antara nama yang sedang hangat disebut ialah penyerang sensasi Vietnam, Nguyen Xuan So atau nama asalnya Rafaelson Fernandes yang tidak beraksi dalam pertemuan di Bukit Jalil akibat kecederaan, namun dijangka kembali dalam aksi timbal balik Mac tahun depan.
Lebih menggerunkan, Rafaelson memuat naik ’31/03/26′ di laman Instagram sejurus kekalahan itu yang disifatkan ramai sebagai ‘peringatan awal’ buat Harimau Malaya menjelang aksi terakhir Kumpulan F kelak.
Bagi bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar, situasi ini bukan mustahil untuk mengubah landskap kumpulan.
“Vietnam tak akan duduk diam. Mereka mungkin ikuti jejak kita dengan mencari pemain warisan yang benar-benar berkualiti. Mereka marah, dan mereka akan bangkit,” katanya.
Tambah Azlan, aksi Mac tahun depan di Hanoi pasti panas kerana selain mahu membalas dendam, ia juga penentu hidup mati kempen kelayakan mereka.
“Kalau Malaysia leka, kita mungkin akan berputih mata. Jadi apa pun keadaannya, skuad kendalian Peter Cklamovski tak boleh pandang rendah perlawanan seterusnya,” katanya.
Sebelum kembali berdepan Vietnam, Malaysia bakal menentang Laos dua kali pada 9 dan 14 Oktober, diikuti perlawanan bertemu Nepal pada 18 November.
Ketiga-tiga aksi itu dijangka menjadi medan terbaik untuk memperkukuh pasukan, namun Azlan memberi peringatan, setiap perlawanan kini ibarat final.
“Jangan bazirkan kelebihan yang kita ada. Kemenangan ke atas Vietnam itu mahal nilainya, tapi perjalanan belum tamat. Kena kekal konsisten dan fokus,” katanya.
Kejayaan ke atas Laos dan Nepal bakal membuka laluan selesa buat Malaysia sebelum ‘final sebenar’ menanti mereka di bumi Vietnam, 31 Mac 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




