Alcaraz tarik diri Terbuka Madrid, persiapan Roland Garros terjejas

Alcaraz tarik diri Terbuka Madrid, persiapan Roland Garros terjejas

Madrid: Carlos Alcaraz terpaksa menarik diri daripada Terbuka Madrid buat tahun kedua berturut-turut selepas mengalami kecederaan pergelangan tangan, sekali gus menjejaskan persiapannya menjelang Terbuka Perancis bulan depan.

Pemain nombor dua dunia itu mengalami kecederaan ketika menewaskan Otto Virtanen di pusingan pertama kejohanan Barcelona, sebelum keputusan ujian menunjukkan kecederaan lebih serius daripada jangkaan awal.

“Sukar untuk saya umumkan… Madrid adalah ‘rumah’ saya dan antara kejohanan paling istimewa.

“Ia lebih menyakitkan kerana saya tidak dapat bermain di hadapan penyokong sendiri untuk tahun kedua berturut-turut,” katanya.

Ini kali kedua berturut-turut Alcaraz terlepas aksi di Madrid selepas tahun lalu menarik diri akibat kecederaan hamstring dan pangkal paha.

Situasi itu menjadi tamparan buat juara Terbuka Australia itu yang sedang memburu kejuaraan Terbuka Perancis, dengan masa semakin suntuk untuk mencapai tahap kecergasan terbaik.

Alcaraz sebelum ini baru kembali beraksi 48 jam selepas tewas di final Masters Monte Carlo kepada Jannik Sinner, kekalahan yang menyaksikannya turun ke ranking kedua dunia.

Pengumuman itu hadir beberapa jam selepas Novak Djokovic turut menarik diri daripada Terbuka Madrid susulan masalah kecederaan, sekali gus menambah lagi drama menjelang musim gelanggang tanah liat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top