kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pengurangan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), dilihat mampu meningkatkan kecairan dalam aktiviti ekonomi negara melalui penambahan kredit yang ditawarkan oleh insitusi perbankan dalam pasaran.
Pensyarah kanan ekonomi dan perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, pengurangan SRR juga membantu institusi perbankan di Malaysia menawarkan perkhidmatan dan produk yang mesra pelanggan.
“Selain meningkatan kredit yang ditawarkan institusi perbankan, ia juga mampu menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi negara kembali ke landasan terbaik.
“Bahkan, pengurangan SRR ini mewujudkan kitaran ekonomi yang positif antara unit lebihan dan unit kurangan melalui pengembangan dan peningkatan jumlah kredit kesan daripada pengurangan SRR oleh BNM kepada pihak bank,” katanya kepada Bisnes Metro.
Terdahulu, BNM mengurangkan SRR sebanyak 100 mata asas kepada 1.00 peratus, melepaskan kira-kira RM19 bilion ke dalam sistem perbankan.
Mengulas mengenai kesan itu terhadap pinjaman dan pelaburan, Mohd Faisol berkata, BNM mengambil langkah tepat bagi memastikan sistem pasaran kewangan Malaysia berada dalam keadaan terkawal dan mampan serta kompetitif dengan mengurangkan lagi SRR sebanyak 100 mata asas kepada 1.00 peratus.
“Saya mengandaikan bahawa ketidaktentuan ekonomi global dan geopolitik antarabangsa semasa seperti isu kadar tarif baru oleh Amerika Syarikat (AS), perang dagangan antara AS dan China serta dasar ekonomi AS yang agak bercelaru, menyebabkan BNM mengambil langkah tepat.
“Langkah ini dilihat sebagai salah satu pendekatan bagi meransangkan lagi sistem perbankan sedia ada bagi mengembangkan aktiviti ekonomi negara melalui pengurangan SRR ini,” katanya.
Beliau berkata, dengan pengurangan SRR ini institusi perbankan akan mempunyai lebihan aset dan dana serta mampu mengembangkan kecairan kewangan yang mencukupi dalam pasaran sekali gus meningkatkan lagi penawaran kredit kepada pelanggan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




