Aura kehebatan Konsert Here I Am oleh Datuk Seri Rossa yang berlangsung Sabtu lalu masih hangat diperkatakan hingga ke hari ini.
Kejayaan konsert ini bukan sekadar terletak pada pesona bintang utama, malah turut diserikan dengan penampilan istimewa tiga finalis program realiti Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) Marygrace, Zazzleen dan Kai Deva.
Tirai konsert berdurasi tiga jam itu dibuka dengan penuh emosi menerusi persembahan lagu Takkan Berpaling Darimu, dinyanyikan bersama Rossa dan ketiga-tiga finalis berkenaan.
Suasana yang cukup syahdu itu nyata mencengkam perasaan ribuan peminat yang hadir.
Kemuncak persembahan awal menyusul apabila Kai dan Marygrace memikat penonton dengan nyanyian penuh penghayatan lagu Terlanjur Cinta, mempamerkan kekuatan vokal luar biasa yang mencuri tumpuan ramai.
Tidak terhenti di situ, gabungan mantap Marygrace dan Zazzleen bersama bintang rap terkenal MK K-Clique menerusi lagu Mimpi berjaya menggegarkan Axiata Arena, sekali gus menyuntik semangat dan tenaga baharu kepada malam penuh memori itu.
Persembahan kolaboratif ini bukan sahaja menyerlahkan bakat baharu tanah air, malah memberi pengalaman istimewa buat lebih 10,000 penonton yang hadir, menyaksikan momen luar biasa antara bintang popular dan pendatang baharu dalam satu pentas yang gah.
Sorakan penonton bergema seiring dengan nyanyian, membuktikan magis yang tercipta pada malam itu akan terus tersemat di hati peminat.
Artikel Berkaitan: Jadi Ratu Hati Peminat Muzik Nusantara, Konsert Rossa ‘Here I Am’ Sarat Emosi & Kejutan!




