Video Maia panjat pagar rumah Ahmad Dhani kembali tular

Video Maia panjat pagar rumah Ahmad Dhani kembali tular

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Video lama penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Maia Estianty memanjat pagar rumah bekas suaminya, Ahmad Dhani, demi bertemu anak sulung mereka, Al Ghazali, kembali tular di media sosial sejak semalam.

Klip berdurasi kira-kira satu minit itu dipercayai dirakam pada 2008, memperlihatkan Maia terpaksa memanjat pagar rumah Dhani semata-mata mahu menyambut hari jadi Al yang ketika itu berusia 11 tahun.

Difahamkan, ketika itu Maia dihalang berjumpa dengan ketiga-tiga anak lelakinya hasil perkahwinan dengan Dhani iaitu Al Ghazali, El Rumi dan Dul Jaelani susulan kemelut perceraian yang cukup hebat melanda mereka.

Dalam rakaman itu, Maia yang ditemani beberapa individu meraikan hari jadi Al tanpa kek, tetapi membawa pemetik api sebagai pengganti lilin.

Selepas menyanyikan lagu hari jadi, Al kemudiannya meniup pemetik api itu.

Situasi menyayat hati itu turut mendapat perhatian ramai selebriti dan warganet yang memuji ketabahan Maia sebagai seorang ibu yang tidak berputus asa dalam kasih sayangnya terhadap anak-anak.

“Saya sampai menangis lagi melihat perjuangan Maia sebagai ibu yang dipisahkan dengan anaknya untuk memberikan kejutan sampai panjat pagar,” tulis seorang pengguna TikTok.

Ahmad Dhani dan Maia Estianty bercerai pada 2008 selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga.

Perceraian mereka menjadi antara yang paling sensasi dalam industri hiburan Indonesia kerana membabitkan perebutan hak penjagaan anak serta dakwaan orang ketiga.

Video dan cerita lama keluarga itu tular semula apabila beberapa majlis adat meraikan Al dan Alyssa Daguise yang berkahwin semalam dilihat menyatukan keluarga itu semula.

Maia pula dalam beberapa temubual sebelum ini mengakui pengalaman dipisahkan daripada anak-anak antara saat paling sukar dalam hidupnya, namun dia bersyukur kerana kasih sayang akhirnya menyatukan mereka kembali.

“Ketika itu saya tak tahu nak buat apa. Saya cuma mahu peluk anak saya di hari jadi dia,” katanya.

Kehadiran dan penampilan Maia di majlis perkahwinan anak sulungnya mendapat pujian ramai masyarakat Indonesia.

Rata-rata memberikan kata-kata semangat dan menjadikannya sebagai contoh ibu terbaik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top