Pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad gagal menahan sebak apabila berkongsi pengalamannya ketika menerima berita pemergian ayahanda tercinta pada 23 Mei lalu.
Kata Fahrin menerusi perkongsian video tular yang dikongsiakn di TikTok, sehingga kini dia masih terkilan kerana jarang memeluk sosok ayahnya itu apatah lagi membisikkan kata-kata sayang dan bangga dengan kehadiran mereka disisi.
“Sedikit yang saya boleh kongsikan, betapa terkilannya saya adalah bila kali terakhir jumpa dengan arwah tempoh hari, saya tak peluk dia… kerana itu bukan kebiasaan kami.
“Ayah ni, dia memang orangnya tegas, dan saya tak sempat nak cakap dengan dia yang saya sangat sayangkan dia, saya sangat berbangga dengan dia, dan berterima kasih dengan ayah,” katanya.
Malah, ketika membincangkan topik ‘Ayah, Kasihmu Sepanjang Masa’ pada program Wanita Hari Ini itu, Fahrin sempat menitipkan pesanan buat anak-anak diluar sana agar mengambil kesempatan untuk memeluk ayah dan ibu mereka sementara masih ada.
“Ini nasihat saya pada anak-anak di luar sana, ayah macam mana tegas sekalipun, macam mana dia tunjuk dia hebat, hero ke? Macam nak tak nak peluk, peluk sahaja mereka. Peluk dan cium mereka, kerana ayah ni memang begitu sifatnya.
“Jangan nak tunggu-tunggu, jangan kita ada perasaan yang tertahan kerana bila dah tiada tu inilah perasaan yang akan hadir, yang akhirnya memujuk hati adalah doa-doa kita untuk mereka setiap hari.
“Setiap kali waktu solat, setiap kali kita teringat ini pesan saya, pada anak-anak di luar sana, baik ayah, baik ibu… tunjuklah kasih sayang, ambil gambar banyak-banyak, peluk mereka, jangan tunggu, tunggu, tunggu,” jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet menzahirkan rasa sebak dan berkongsi pengalaman mereka bersama ayah masing-masing.
Malah, ramai yang menyifatkan, sosok dan sifat tegas seorang ayah itu adalah kerana ingin mendidik anak-anaknya menjadi manusia berguna pada masa hadapan.









