New York: Hasrat untuk menyaksikan perlumbaan sensasi antara jaguh pecut Olimpik, Noah Lyles dan bintang NFL, Tyreek Hill terpaksa dibatalkan pada saat akhir atas alasan peribadi dan kurangnya sokongan penaja.
Hill, wide receiver pasukan Miami Dolphins, mencabar Lyles untuk berentap dalam larian 50 ela (45.72 meter) selepas atlet Amerika Syarikat itu menjuarai acara 100 meter (m) di Sukan Olimpik Paris tahun lalu dalam final paling sengit dalam sejarah.
Lyles mendedahkan acara itu dijadual berlangsung hujung minggu ini di Times Square, New York.
“Kami sudah berada di fasa akhir perancangan acara itu. Malah, ia sepatutnya berlangsung hujung minggu ini,” kata Lyles ketika ditemui di acara Stagwell Global Sport Beach di Cannes, Perancis.
“Sayangnya, terdapat beberapa komplikasi dan hal peribadi yang menyebabkan ia tak menjadi kenyataan. Tapi kami memang bersedia sepenuhnya, nak tutup Times Square dan jadikan ia acara gempak.”
Perseteruan antara kedua-dua bintang sukan itu menjadi tular susulan kenyataan Hill yang mendakwa dirinya lebih pantas daripada Lyles.
Ketika menjuarai gelaran 60m dalam dewan buat kali keempat Februari lalu, Lyles mencetus sensasi apabila menanggalkan nombor perlumbaannya dan mempamerkan tulisan tangan: “Tyreek Could Never.”
Hill, yang terkenal sebagai antara pemain terpantas NFL, membalas di media sosial bahawa perlumbaan itu akan berlaku dan menulis: “Akan datang ke bandar anda.”
Namun menurut Lyles, ramai termasuk penaja menganggap perkara itu hanya sekadar ‘gurauan’ di media sosial.
“Ramai tak percaya. Mereka sangka ia sekadar bualan dalam talian,” katanya.
“Syarikat-syarikat pun tak yakin ia akan berlaku.”
© New Straits Times Press (M) Bhd

