New York: Tiger Woods kembali menghayun kayu golf di padang buat kali pertama sejak terpalit kes pemanduan di Florida, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan legenda golf itu kembali beraksi secara kompetitif.
Woods, 50, dilihat melakukan latihan pukulan di Liberty National Golf Club, New Jersey, ketika menghadiri acara Piala Nexus yang dianjurkannya menerusi Yayasan TGR.
Dalam satu sesi bersama peminat, juara 15 kali kejohanan utama itu turut ditanya mengenai keadaan permainannya ketika ini.
“Saya boleh pukul hampir semua jenis pukulan,” katanya.
Kemunculan Woods di padang golf itu hadir kurang dua minggu selepas beliau mencapai persetujuan dalam kes undang-undang susulan kemalangan kereta di Florida pada Mac lalu.
Woods sebelum ini berdepan pertuduhan memandu secara cuai dan enggan menjalani ujian air kencing selepas kemalangan berkenaan.
Pada 2 September lalu, dia membuat pengakuan tidak mempertikaikan pertuduhan berkenaan dan sebagai sebahagian daripada persetujuan, lesen memandunya digantung selama lima tahun serta dikenakan denda AS$1,000 (RM4,060). Pertuduhan memandu di bawah pengaruh bahan terlarang atau alkohol digugurkan.
Woods tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif sejak 2024 selepas berdepan pelbagai masalah kecederaan, termasuk menjalani beberapa pembedahan belakang serta kecederaan serius pada kaki kanannya akibat kemalangan pada 2021.
Bagaimanapun, kemunculan terbaru di Liberty National memberi gambaran Woods masih mempunyai keinginan untuk kembali bermain, walaupun dia belum mengesahkan sebarang tarikh untuk kembali beraksi secara kompetitif.
Woods kali terakhir beraksi dalam kejohanan utama pada Terbuka British 2024 dan kemenangan profesional terakhirnya hadir pada Kejohanan Zozo 2019.
Kemunculan itu turut mencetuskan spekulasi bahawa Woods mungkin mempertimbangkan saingan Jelajah Juara PGA, yang membenarkan pemain menggunakan kereta golf dan boleh mengurangkan tuntutan fizikal ketika bermain.
Namun, buat masa ini, Woods hanya kembali memukul bola di padang dan belum mengumumkan rancangan rasmi untuk kembali bertanding.
© New Straits Times Press (M) Bhd
