sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kapten Selangor, Faisal Halim menarik perhatian netizen dan peminat bola sepak tanah air susulan komen ringkasnya pada laman Instagram rakan sepasukan, Safuwan Baharudin.
“Kita tahu semua ini akan belaku,” Itu komen yang ditinggalkan penyerang berusia 28 tahun itu dan mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial berkenaan.
Mendapat lebih 1,300 tanda suka, komen yang dibuat Faisal turut mencetuskan persoalan mengenai maksud daripada komen ringkas itu.
Terdahulu, Safuwan membuat satu hantaran di Instagram miliknya dengan mengulas mengenai kekecewaannya atas kegagalan Selangor gagal ke final Piala FA selepas tumpas 2-3 secara agregat kepada Kuching City, semalam.
Pemain kelahiran Singapura itu turut memohon maaf kepada penyokong Selangor kerana tidak dapat memberikan keputusan yang diharapkan.
Dia turut membangkitkan isu kurang semangat kesukanan sambil menegaskan perkara berkenaan tidak sepatutnya mempunyai tempat dalam bola sepak.
“Menang dan kalah adalah sebahagian daripada bola sepak, sama seperti ia sebahagian daripada kehidupan kita. Semua orang mahu berada di pihak yang menang.
“Malangnya, malam tadi kami gagal mencapai kemenangan dan kami perlu menerima keputusan itu serta bertanggungjawab terhadap perkara yang berada dalam kawalan kami.
“Apa yang berlaku di luar keputusan perlawanan itu lebih sukar untuk diterima. Tingkah laku tidak bersemangat kesukanan yang kami saksikan adalah tidak boleh diterima dan tidak mempunyai tempat dalam bola sepak.
“Ia memberi kesan yang mendalam kepada saya dan sehingga kini saya masih sukar mempercayai apa yang kami saksikan. Menang atau kalah, kami tetap berpegang kepada standard yang sama.
“Kami menghormati permainan, lawan kami dan semua yang datang memberikan sokongan kepada kami. Itulah siapa kami. Itulah Selangor,” tulis Safuwan.
Sebelum itu, pengendali Selangor, Kim Pan Gon dilaporkan meminta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyiasat insiden kekecohan yang berlaku di penghujung perlawanan dengan beliau mendakwa pemain tengah Kuching City, Nazmi Faiz Mansor ‘menyerang’ kem pasukan Selangor di bangku simpanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd