LATEST

PN tetap ambil tindakan terhadap BERSATU selepas PRN Melaka – Takiyuddin

PN tetap ambil tindakan terhadap BERSATU selepas PRN Melaka – Takiyuddin

am@hmetro.com.my

Melaka: Perikatan Nasional (PN) tetap akan mengambil tindakan terhadap BERSATU selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, susulan beberapa dakwaan pelanggaran disiplin termasuk bertanding di kerusi yang sama menentang calon ditetapkan gabungan itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tindakan berkenaan turut membabitkan aduan BERSATU kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang menyebabkan pendaftaran PN dibatalkan sebelum perkara itu dibawa ke mahkamah.

Beliau menegaskan, pihaknya mempunyai bukti kukuh berhubung tindakan berkenaan dan tidak terjejas dengan sebarang penafian daripada kepemimpinan BERSATU.

“Dia (BERSATU) membuat aduan kepada ROS sehingga PN dibatalkan. Bukan sahaja digantung, tetapi dibatalkan (pendaftaran),” katanya selepas menyampaikan ceramah Gelombang Biru Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, di Tangga Batu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengarah Pilihan Raya BN DUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan dan calon BN kerusi berkenaan, Datuk Tuminah Kadi.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS, berkata keputusan pembatalan pendaftaran oleh ROS itu kemudian dicabar di mahkamah kerana tindakan sedemikian dianggap tidak sepadan dengan perkara yang diadukan.

“Tapi apabila kami bawa perkara ini ke tengah (mahkamah), mahkamah pun tidak boleh menerima tindakan pembatalan itu sebagai tindakan yang appropriate (sesuai).

“Jadi jelaslah ini adalah suatu tindakan yang di luar daripada norma-norma organisasi, termasuk organisasi politik,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dilaporkan memaklumkan sebarang prosiding dan tindakan tatatertib terhadap BERSATU hanya akan diputuskan selepas PRN Melaka selesai pada 14 November ini.

Beliau dilaporkan berkata, PN menerima beberapa aduan daripada parti komponen berhubung dakwaan salah laku dan pelanggaran disiplin yang perlu diteliti mengikut peruntukan Perlembagaan gabungan berkenaan.

Susulan itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, mencabar kepemimpinan PAS membuktikan parti itu tidak melakukan pelanggaran terhadap Perlembagaan PN sebelum mengambil tindakan tatatertib terhadap BERSATU.

Tun Faisal dilapor turut mempersoalkan kerjasama PAS dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRN Melaka, termasuk sama ada rundingan berkenaan mendapat mandat daripada Majlis Tertinggi PN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news