SEPANG: Tiada siapa menyangka keakraban tiga bersaudara yang membesar bersama berakhir dengan tragis apabila ketiga-tiga mereka meninggal dunia dipercayai akibat disambar petir di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, hari ini.
Bapa saudara, Haris Salleh Kurais, 42, berkata ketiga-tiga mangsa memang rapat dan tidak dapat dipisahkan sejak mereka membesar di kampung halaman di Semporna, Sabah sehinggalah menetap serta bekerja di sini.
Menurutnya, anak saudaranya, Mohd Sahrif Marusin, 26; dan Mohamad Ahzam Marusin, 16, adalah adik-beradik manakala Mohammad Safwan Aksan, 18, adalah saudara mereka.
”Ketika itu saya sedang tengok TV (televisyen) dalam 4.30 petang, saya dapat panggilan mengatakan yang anak buah saya terkena renjatan elektrik, lepas tu ada seorang lagi kata kena panahan petir.
”Jadi saya siap-siap dan terus bergegas ke hospital. Ketika itu saya memang terkejut, tak sangkalah benda tu boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, di sini, hari ini.
Katanya, mereka mempunyai hubungan yang rapat dan ketiga-tiga anak saudaranya itu memang menghormati dirinya sebagai pak cik mereka malah baru bertemu kesemua mangsa kira-kira dua hari lalu ketika berkumpul bersama keluarga.
”Tiga-tiga ini mereka memang rapat, sangat rapat. Kalau seorang pergi mana-mana yang dua lagi mesti akan ikut. Contoh, seorang buat (baiki) motor, yang lain pun ikut sebab mereka memang suka baiki motor orang.
”Masa kejadian itu pun mereka sedang baiki kereta milik salah seorang daripada mereka. Jadi, memang saya tak sangkalah benda ini boleh berlaku,” katanya.
Haris berkata, seluruh ahli keluarga di Semenanjung Malaysia dan di Sabah sudah dimaklumkan berhubung insiden itu termasuk ibu bapa mangsa yang berada di kampung.
Katanya, urusan penghantaran pulang ke Sabah akan dilakukan secepat mungkin sejurus proses bedah siasat oleh pihak polis selesai dijalankan.
Terdahulu, dilaporkan tiga lelaki termasuk dua remaja berusia 18 dan 16 tahun maut dipercayai akibat disambar petir ketika berteduh di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dilapor berkata, kejadian berlaku pada 3.34 petang di padang awam di Bandar Baru Salak Tinggi.
Menurutnya, Mohd Sahrif bekerja sebagai pekerja pembersihan kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala dua lagi saudaranya tidak bekerja.
Sebelum itu, tular di media sosial beberapa klip video memaparkan tiga jasad yang sudah ditutup dengan kain batik terbaring di bawah sebatang pokok.
Insiden itu mula tular selepas beberapa gambar dan video dimuat naik oleh penduduk serta pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd