KUALA LUMPUR: Datuk Abdul Halim Kader terus diberi kepercayaan menerajui Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) selepas disahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden untuk penggal baharu.
Perkembangan itu hadir selepas Sekretariat ASTAF yang bermesyuarat di Bangkok, Thailand, hari ini mengesahkan hanya satu pencalonan diterima bagi jawatan berkenaan sebelum tempoh penamaan calon berakhir pada jam 5 petang waktu Malaysia.
Turut mencatat kemenangan tanpa bertanding ialah dua calon bagi jawatan Timbalan Presiden, iaitu Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohamad Sumali Reduan dan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Thailand, Dr Srihassak Arrirachakaran.
Bagaimanapun, persaingan masih terbuka bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Eksekutif apabila jumlah pencalonan diterima melebihi kerusi yang ditawarkan.
Menariknya, Abdul Halim sebelum ini pernah menyatakan pada pemilihan 2021 bahawa penggal berkenaan adalah yang terakhir buatnya.
Namun, sokongan dan dorongan berterusan daripada negara anggota mendorong beliau menerima pencalonan semula bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan sepak takraw di peringkat antarabangsa.
Gandingan Abdul Halim dan Sumali juga dilihat mampu memperkukuh kepimpinan ASTAF, khususnya dalam usaha mempererat kerjasama negara anggota, memperluas pembangunan atlet serta meningkatkan kedudukan sepak takraw di pentas dunia.
Abdul Halim berkata, antara keutamaan kepimpinan baharu adalah memperkukuh hubungan strategik dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) bagi mempercepat usaha mendapatkan pengiktirafan serta membuka laluan kepada sukan itu dipertandingkan di Sukan Olimpik.
“Perjuangan kita belum selesai. Impian saya adalah melihat sepak takraw dipertandingkan di pentas Olimpik.
“Kita mesti terus bersatu, bekerja lebih keras dan memastikan sukan ini berkembang secara profesional, berintegriti serta memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mesyuarat Agung Pemilihan ASTAF yang dijadual berlangsung di Bangkok pada 9 Disember ini akan melengkapkan pembentukan barisan kepimpinan baharu bagi meneruskan usaha menjadikan sepak takraw sebagai sukan bertaraf dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd