LATEST

Tiga kanak-kanak, dua wanita maut runtuhan tebing pasir di Gaza

Tiga kanak-kanak, dua wanita maut runtuhan tebing pasir di Gaza

BANDAR GAZA: Lima warga Palestin termasuk tiga kanak-kanak dan dua wanita dilaporkan maut selepas tebing pasir runtuh dan menimbus khemah kediaman pelarian berpunca daripada hujan lebat yang melanda Gaza semalam.

Agensi Perkhidmatan Penyelamat Gaza mengesahkan insiden tragis berkenaan berlaku di pusat perlindungan sementara yang terletak di selatan Deir al-Balah, bahagian tengah Semenanjung Gaza.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal memaklumkan bahawa tebing pasir berkenaan runtuh secara tiba-tiba ke atas susunan khemah yang mendiami keluarga pelarian.

“Pasukan penyelamat kini sedang meneruskan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa lain yang disyaki masih tertimbus,” kata Bassal menerusi satu kenyataan rasmi.

Rakaman video yang tular di media sosial memperlihatkan puluhan penduduk tempatan bertungkus-lumus menggunakan pencangkul dan berusaha mengalihkan bongkah konkrit bagi menyelamatkan mangsa yang tertimbus.

Pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan amaran keras kepada penduduk terjejas agar tidak mendirikan khemah berhampiran tebing pasir atau kawasan tanah tinggi sepanjang musim hujan kerana berisiko membahayakan nyawa.

Hujan lebat yang mula melanda sejak Sabtu itu membanjiri kira-kira 70,000 khemah pelarian di seluruh wilayah berkenaan, sekali gus menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat berteduh.

Pihak pejabat media kerajaan melaporkan beberapa insiden struktur dinding retak dan bumbung bangunan runtuh di pelbagai kawasan yang turut mengakibatkan kecederaan parah dalam kalangan penduduk.

Ratusan keluarga pelarian dilihat terpaksa meninggalkan tempat perlindungan sementara di Bandar Gaza dan bahagian utara serta tengah wilayah itu selepas pangkalan kem mereka ditenggelami air.

Meskipun gencatan senjata mula dikuatkuasakan sejak Oktober 2025 dengan perantara Mesir, Qatar dan AS selepas dua tahun peperangan, kemusnahan infrastruktur kekal berada pada tahap kritikal.

Serangan udara dan operasi tentera yang berlaku secara berterusan menambah derita ratusan ribu penduduk yang terpaksa berteduh di dalam khemah serba kekurangan sewaktu mendepani ancaman cuaca buruk. – AGENSI

The post Tiga kanak-kanak, dua wanita maut runtuhan tebing pasir di Gaza appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news