LATEST

Cheng Hoe ada plan ‘B’ jika pemain tarik diri

Cheng Hoe ada plan ‘B’ jika pemain tarik diri

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe sudah bersedia sekiranya terdapat pemain yang beliau panggil menarik diri atau tidak dapat melaporkan diri daripada menyertai kem Harimau Malaya.

Semua 24 pemain yang dipanggil Cheng Hoe sepatutnya melaporkan diri bersama Harimau Malaya, hari ini bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa berdepan China, Sabtu ini dan Yaman (17 November).

Bagaimanapun terdapat laporan bahawa sebuah kelab Liga Super dikatakan mengambil keputusan menarik keluar semua pemain mereka daripada menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Cheng Hoe ketika ditanya mengenai laporan berkenaan menjelaskan beliau masih belum mendapat maklumat mengenai perkara itu, namun bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk memanggil pemain lain sebagai ganti.

“Sampai sekarang kami belum terima apa-apa lagi, tetapi kami sudah bersedia jika ada pemain yang tidak dapat bersama dengan pasukan. Kami ada beberapa nama yang akan ganti.

“Kami belum ada senarai akhir skuad yang melapor diri kerana ada pemain masih lagi dalam perjalanan untuk datang hari ini. Kami pun tunggu laporan kalau ada pemain cedera.

“Memang kami ada pemain dalam senarai bersedia yang akan dipanggil kalau ada pemain cedera kerana kita tahu semalam ada perlawanan separuh akhir Piala FA.

“Kami jangka kemungkinan besar (ada pemain cedera), namun sebagai jurulatih saya masih lagi positif. Kami bagi tempoh kepada pemain sampai sebelum makan malam nanti,” katanya ketika di temui media, di sini, hari ini.

Sekiranya spekulasi mengenai penarikan diri yang dilaporkan berpotensi membabitkan sekurang-kurangnya tujuh pemain itu benar-benar berlaku, ia bakal menjadi masalah ketika Harimau Malaya akan berlepas ke China, pagi esok.

Aksi berdepan China dan Yaman akan berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news