LONDON: Pernah berdepan masalah kewangan sehingga hampir tersingkir daripada saingan Liga Bola Sepak Inggeris, Brighton kini mencipta kejutan apabila muncul pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Kejayaan menewaskan Brentford 2-0, semalam menyaksikan Brighton kendalian Fabian Hurzeler melonjak ke tangga kedua liga sebelum saingan berehat seketika bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa.
Lebih menarik, Brighton kini berada di depan kelab yang jauh lebih kaya seperti Manchester City, Liverpool dan Chelsea, manakala pendahulu liga, Arsenal hanya dipisahkan lima mata.
Kebangkitan Brighton mungkin dianggap sekadar sementara sebelum kelab gergasi kembali menguasai liga, namun kejayaan itu sebenarnya hasil perancangan rapi Hurzeler dan pemilik kelab, Tony Bloom.
Bloom yang juga seorang ahli perniagaan dalam bidang pertaruhan profesional mengambil alih Brighton pada 2009 ketika kelab itu berdepan hutang besar dan beraksi di divisyen ketiga.
Brighton mempamerkan prestasi cemerlang musim ini apabila memenangi tujuh daripada 10 perlawanan liga, termasuk dua kemenangan penting ke atas pasukan pilihan.
Pada September lalu, Brighton mengejutkan Arsenal dengan kemenangan 3-0 ketika memakai jersi khas sempena ulang tahun ke-125 penubuhan kelab itu.
Mereka kemudian membuktikan kemampuan sebenar apabila menewaskan Manchester City 1-0 di Manchester pada Oktober lalu, hanya beberapa hari selepas tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti dalam saingan Piala Liga di Stadium Etihad.
Kemenangan itu membuktikan Brighton memiliki kekuatan mental untuk berdepan tekanan dalam persaingan merebut kejuaraan liga.
Musim ini juga menyaksikan beberapa kelab besar berdepan masalah tersendiri apabila Manchester City masih berusaha dalam proses rayuan berkaitan dakwaan pelanggaran peraturan kewangan, Liverpool dan Chelsea sedang membina semula pasukan di bawah pengurus baharu, manakala Manchester United terus bergelut dengan prestasi tidak menentu.
Situasi itu membuka peluang buat Brighton mengulangi kejutan Leicester City yang mencipta sejarah menjuarai EPL pada 2016.
Bagaimanapun, Hurzeler mengakui usaha memintas Arsenal bukan tugas mudah, namun beliau tidak menafikan keterujaan semakin meningkat dalam kalangan penyokong Brighton.
Ketika ditanya bilakah penyokong boleh mula memasang impian untuk melihat kelab itu mencabar kejuaraan, pengendali berusia 33 tahun itu berkata,”Mereka sepatutnya sentiasa teruja setiap kali menyaksikan perlawanan kami dan menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka terus teruja.
“Saya sentiasa mengatakan mereka boleh memasang impian dan meletakkan harapan tinggi terhadap kami, tetapi itu adalah perkara yang tidak mampu kami kawal”.
Hurzeler mencipta sejarah sebagai pengurus tetap termuda dalam sejarah EPL selepas dibawa masuk oleh Bloom dari kelab Jerman, St Pauli pada 2024.
Dilahirkan di Texas, Amerika Syarikat, pengendali dari Jerman itu hanya memiliki pengalaman sederhana sebagai pemain sebelum beralih ke bidang kejurulatihan dan menarik perhatian Bloom selepas membantu St Pauli mendapatkan tempat dalam Bundesliga.
Sentuhan Hurzeler di Brighton lebih menyerlah apabila membimbing kelab itu menamatkan saingan EPL di tangga kelapan dalam dua musim berturut-turut, selain membawa mereka beraksi dalam Liga Persidangan UEFA musim ini.
Bloom bukan sekadar pemilik kelab, malah individu yang mengubah hala tuju Brighton menerusi pendekatan pengurusan berbeza daripada kebanyakan kelab bola sepak Inggeris.
Ketika mengambil alih Brighton, kelab itu sedang bergelut di divisyen ketiga dengan beban hutang besar dan terpaksa beraksi di sebuah stadium olahraga yang daif di pinggir bandar.
Beliau kemudian memperkenalkan penggunaan analisis data dan teknologi pencarian bakat secara lebih meluas bagi mengenal pasti pemain muda yang kurang dikenali sebelum membentuk mereka menjadi bintang bola sepak.
Brighton turut berpindah ke stadium baharu yang dibina khas pada 2011, sekali gus membuka lembaran baharu selepas melalui tempoh sukar dalam sejarah kelab.
“Mana-mana individu yang melihat keadaan Brighton hari ini berbanding 15 tahun lalu pasti tidak menyangka ia adalah kelab bola sepak yang sama,” kata pengarah sukan, Mike Cave.
Sejak ditubuhkan pada 1901, Brighton terkenal sebagai kelab yang mempunyai sejarah tersendiri dan penyokong yang cukup setia, selari dengan identiti bandar peranginan tepi laut itu.
Walaupun tidak banyak memenangi trofi utama, kelab dari selatan England itu pernah mencipta beberapa detik yang sukar dilupakan, sama ada kejayaan mahupun pengalaman pahit.
Pada 1983, Brighton mara ke final Piala FA bertemu Manchester United, namun peluang mereka meraih trofi utama pertama musnah selepas Gordon Smith gagal menyempurnakan peluang keemasan dalam perlawanan itu.
Brighton kemudian tewas besar kepada United dalam aksi ulangan final sebelum tersingkir daripada liga utama England pada musim sama.
Lebih menyedihkan, Brighton hampir tersingkir daripada Liga Bola Sepak Inggeris pada 1997 sebelum terselamat pada hari terakhir musim selepas perlawanan dramatik menentang Hereford United berakhir dengan keputusan seri.
Perlawanan itu turut menyaksikan seekor lembu jantan hidup yang dijadikan maskot Hereford merempuh masuk ke padang ketika aksi berlangsung.
Brighton juga pernah kehilangan gelanggang sendiri apabila Stadium Goldstone Ground yang menjadi gelanggang mereka sejak 1902 dijual akibat hutang semakin meningkat.
Situasi itu memaksa mereka beraksi di Gillingham, kira-kira 112 kilometer dari Brighton selama dua tahun.
Namun, kelab itu akhirnya bangkit daripada detik paling sukar hasil sokongan penyokong yang tidak pernah berputus asa.
“Apa yang memastikan kelab ini terus bertahan adalah keazaman penyokongnya. Kutipan derma, bantahan dan keengganan mereka menerima hakikat bahawa Albion sepatutnya lenyap begitu sahaja,” kata Bloom.
Sama ada impian Brighton untuk menjulang trofi EPL menjadi kenyataan atau sebaliknya, kemampuan mereka berada dalam kelompok pencabar kejuaraan ketika ini sudah cukup dianggap satu keajaiban dalam bola sepak.
© New Straits Times Press (M) Bhd