LATEST

Exists kenang jasa Allahyarham Johan Aziz

Exists kenang jasa Allahyarham Johan Aziz

Kuala Lumpur : Di sebalik kemeriahan pentas dan sorakan ribuan peminat, Exists menyimpan ruang istimewa buat bekas pengurus mereka, Allahyarham Johan Aziz, yang banyak berjasa mengukuhkan perjalanan seni kumpulan itu.

Penghargaan penuh emosi itu dizahirkan ketika kumpulan yang popular dengan lagu Mengintai Dari Tirai Kamar itu menjayakan konsert Exists Memento Mori 2.0 di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Vokalisnya, Mamat menyifatkan Allahyarham sebagai insan penting yang bertanggungjawab membawa Exists ke tahap kejayaan yang dikecapi hari ini.

“Pada malam ini, kami mengenang Johan Aziz. Kalau tiada beliau, kami tidak akan berada di sini. Kerana jasa beliau, kami berada di sini.

“Dia penjaga dan pembimbing kami. Semua ini akan abadi di hati kami,” katanya.

Bagi Ajai pula, jasa serta pengorbanan Allahyarham akan terus terpahat dalam ingatan mereka, biarpun insan yang banyak membantu perjalanan kumpulan itu sudah tiada.

Sementara itu, Shah berkata, hanya doa mampu dititipkan buat Allahyarham yang banyak menabur bakti kepada Exists.

“Budi dan jasa Allahyarham tidak mungkin dapat dibalas. Hanya doa yang mengiringi pemergiannya,” katanya.

Allahyarham Johan menghembuskan nafas terakhir di hospital baru-baru ini selepas bertarung dengan penyakit kanser.

Mamat kemudian mengajak kira-kira 8,000 penonton menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah buat Allahyarham sebelum Exists meneruskan persembahan dengan lagu Nota Di Lautan Sepi.

Konsert anjuran Icon Entertainment itu menyaksikan Exists membawakan 33 lagu, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia perjalanan muzik mereka yang sudah mewarnai industri hiburan tanah air lebih tiga dekad.

Antara lagu popular yang didendangkan ialah Dirantai Digelangi Rindu, Janji Padamu, Langkah Seiringan, Seperti Dulu, Janji Bidadari, Jangan Gentar, Buih Jadi Permadani, Bunga, Julia, Hani Lempengnya Hangus, Kapal Terbang Kertas dan Alasanmu.

Penonton turut disajikan segmen akustik yang menampilkan Ezad menerusi lagu Usah Tinggal Daku Kekasih serta Masih Terserlah Ayumu.

Mamat pula mendendangkan Tak Mungkin Berpaling, Sebelum Terlewat dan Untukmu Ibu, yang terus mengundang nostalgia dalam kalangan peminat.

Memento Mori 2.0 dianjurkan sebagai kesinambungan kepada konsert Exists Memento Mori yang berlangsung pada 1 Ogos lalu, susulan sambutan menggalakkan serta permintaan peminat yang masih belum puas menikmati persembahan kumpulan itu.

Penganjuran edisi kedua itu turut mengambil kira perjalanan seni Exists selama 35 tahun yang disifatkan terlalu panjang untuk dirangkumkan dalam satu malam. Justeru, konsert berkenaan memberi peluang kepada peminat yang terlepas edisi pertama, selain menyajikan pilihan lagu lebih menyeluruh.

Menghimpunkan tujuh anggota Exists iaitu Along, Ujang, Musa, Ajai, Shah, Mamat dan Ezad, Memento Mori 2.0 bukan sekadar pertemuan semula dengan peminat, malah menjadi ruang untuk meraikan legasi muzik yang terus hidup merentasi generasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news