Pada 13 Julai 2012, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Phnom Penh berakhir dengan satu peristiwa yang belum pernah berlaku sepanjang 45 tahun sejarah pertubuhan itu. Para menteri pulang tanpa sebarang kenyataan bersama. Mereka gagal bersepakat tentang cara merujuk satu insiden di Laut China Selatan dalam dokumen akhir mesyuarat. Kebuntuan itu turut membayangi usaha merangka kod tatalaku bagi perairan tersebut.
Peristiwa itu sering dikenang sebagai detik ASEAN paling hampir berpecah. Pengajarannya mahal tetapi jelas. Pertikaian maritim jarang meruntuhkan sesebuah pertubuhan serantau secara langsung. Bahayanya datang secara senyap, apabila pertikaian itu mula menentukan sama ada negara anggota masih mampu bercakap dengan satu suara. Persoalannya hari ini, sudahkah ASEAN benar-benar belajar daripada Phnom Penh?
Empat belas tahun kemudian, Malaysia membawa persoalan itu ke Cebu, Filipina. Berucap di Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-20 pada 28 Oktober 2026, Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin meletakkan Laut China Selatan sebagai antara ujian paling besar terhadap perpaduan dan kredibiliti ASEAN. Jawapan Malaysia tegas. Setiap negara penuntut mempunyai kepentingan yang sah untuk dipertahankan. Namun, perbezaan kepentingan dan pendirian dalam pertikaian itu perlu diurus supaya negara anggota terus mampu mencapai kata sepakat dan bekerjasama menjaga keamanan serantau.
Kos Konflik Ditanggung Semua
Pendirian itu berpijak pada perkiraan yang sangat praktikal. ChinaPower, projek kajian di Center for Strategic and International Studies (CSIS), sebuah badan pemikir di Washington, menganggarkan dagangan bernilai kira-kira USD3.4 trilion melalui perairan itu pada 2016. Jumlah itu bersamaan sekitar 21 peratus daripada perdagangan dunia. Angka itu menjadikan Laut China Selatan lebih daripada pertikaian sempadan. Ia salah satu nadi perdagangan dunia. Bagi Malaysia yang berkongsi perairan ini dan bergantung kuat kepada perdagangan, kestabilannya menyentuh terus kepentingan ekonomi negara.
Dunia sudah pun menyaksikan apa yang berlaku apabila laluan sepenting itu terganggu. Selepas serangan terhadap kapal dagang di Laut Merah bermula pada akhir 2023, Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) melaporkan pelayaran melalui Terusan Suez merosot 42 peratus dalam tempoh dua bulan. Kapal dagang terpaksa mengelilingi Tanjung Harapan di hujung selatan Afrika. Kos pengangkutan meningkat, dan kesannya dirasai pengeluar serta pengguna di negara yang langsung tidak terlibat dalam konflik tersebut. Konflik di laut melangkaui sempadan dengan mudah.
Pengajaran daripada gangguan perdagangan di Laut Merah ini turut dibawa Menteri Pertahanan ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) ke-13 pada 29 Oktober. Apabila pertikaian bertukar menjadi konflik bersenjata, kesannya turut dirasai negara lain melalui gangguan penghantaran barang dan peningkatan kos perdagangan. Oleh itu, ASEAN perlu mengutamakan dialog supaya pertikaian di Laut China Selatan dapat dikawal sebelum mencetuskan konflik. Jika laluan perdagangan di perairan itu terganggu seperti yang berlaku di Laut Merah, negara-negara penuntut sendiri juga akan menanggung kerugian ekonomi.

Berbeza Kepentingan, Kekal Bersatu
Kesedaran tentang kos konflik sahaja belum cukup untuk menyatukan negara yang tuntutannya bertindih. Persoalannya, bagaimanakah ASEAN mampu kekal bersatu selama hampir enam dekad? Sarjana hubungan antarabangsa sudah lama cuba menjawabnya. Pada 1957, ahli sains politik Amerika kelahiran Prague, Karl Deutsch memperkenalkan konsep komuniti keselamatan. Konsep ini merujuk kepada kelompok negara yang anggotanya sudah berhenti menjangka perbezaan sesama mereka diselesaikan melalui peperangan.
Lebih empat dekad kemudian, konsep itu dibawa ke Asia Tenggara oleh profesor hubungan antarabangsa di American University, Washington, Amitav Acharya. Sarjana kelahiran India ini antara pengkaji ASEAN yang paling banyak dirujuk. Hujahnya, ASEAN membina komuniti keselamatannya melalui norma dialog dan penyelesaian pertikaian secara aman yang dipupuk sejak 1967. Lama-kelamaan, norma itu menjadi kebiasaan dan kebiasaan itu menjadikan pertikaian sesama anggota lebih mudah diurus.
Dalam erti kata lain, ASEAN kekal bersatu kerana anggotanya mahir mengurus perbezaan, sedangkan perbezaan itu sendiri sentiasa wujud. Pendirian Malaysia di Cebu berpaksikan kefahaman yang sama, iaitu kekuatan ASEAN terbina melalui dialog dan konsensus. Perpaduan dalam pengertian ini ialah aset strategik yang dibina melalui amalan. Seperti mana-mana aset, nilainya boleh susut jika diabaikan, dan Phnom Penh 2012 membuktikannya.
Malaysia sendiri mempunyai rekod yang menghidupkan norma tersebut. Pertikaian Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan dengan Indonesia dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang memutuskannya pada 17 Disember 2002. Pertikaian Batu Puteh dengan Singapura pula diputuskan oleh mahkamah yang sama pada 23 Mei 2008. Malaysia akhirnya menghormati kedua-dua keputusan itu, termasuk keputusan yang tidak sepenuhnya memihak kepadanya, dan hubungan dengan kedua-dua jiran terus kukuh.
Pengalaman Malaysia menyelesaikan pertikaian secara aman mengukuhkan kredibilitinya untuk menyeru pendekatan yang sama di Laut China Selatan. Malaysia menegaskan bahawa semua pihak perlu menahan diri dan menyelesaikan pertikaian berlandaskan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS). Pendekatan yang mengutamakan dialog dan kerjasama ini selari dengan tonggak Perkongsian Berwibawa dalam Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP). Kepentingan perpaduan serantau pula ditegaskan melalui Deklarasi Bersama Kuala Lumpur mengenai Perpaduan ASEAN untuk Keselamatan dan Kemakmuran. Deklarasi tersebut diterima pakai oleh ADMM pada 31 Oktober 2025 ketika Malaysia mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Kod Tatalaku Mesti Bermakna
Jika UNCLOS menetapkan hak setiap negara, Kod Tatalaku (COC) pula diperlukan untuk mengatur tingkah laku di laut. Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) dimeterai di Phnom Penh pada 2002. Manakala rundingan berasaskan satu draf teks tunggal bermula pada 2018. ASEAN dan China kemudian menyasarkan rundingan itu selesai pada 2026 dan Malaysia turut komited membantu memuktamadkannya.
Hampir 24 tahun selepas DOC dimeterai, penantian terhadap COC boleh menimbulkan keraguan tentang kemajuan rundingan. Namun, keberkesanan kod itu bergantung pada kandungannya dan pelaksanaannya selepas dimeterai. Atas sebab itu, Menteri Pertahanan menyeru agar pemuktamadan COC yang berkesan dan substantif disegerakan serta diberi keutamaan tertinggi. Kod tersebut perlu mengandungi aturan yang jelas supaya tindakan sesuatu pihak di laut dapat difahami oleh pihak lain. Hal ini dapat mengurangkan risiko sesuatu tindakan disalah tafsir sebagai ancaman lalu mencetuskan tindak balas yang mengubah insiden kecil menjadi krisis.
Bagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berdepan situasi di laut setiap hari, keperluan ini sangat konkrit. Kod tersebut perlu memuatkan protokol pencegahan insiden serta saluran komunikasi segera antara agensi maritim. Paling penting, ia mesti dilaksanakan sepenuhnya selepas dimeterai. Kod yang kukuh di atas kertas tetapi lemah di lapangan hanya akan menambah satu lagi dokumen dalam sejarah panjang rundingan ini.

Kekuatan ASEAN di meja rundingan juga bergantung pada disiplin anggotanya sendiri. Setiap kali negara anggota memilih langkah bersendirian yang bercanggah dengan pendirian bersama, kedudukan rundingan blok itu menjadi lebih lemah. Perbezaan kepentingan antara negara penuntut dan negara lain memang wujud. Pengajaran Phnom Penh jelas. Perbezaan itu mesti diurus di dalam bilik mesyuarat ASEAN dan dijauhkan daripada menjadi perpecahan terbuka di hadapan rakan rundingan.
Pendirian yang dibawa Malaysia ke Cebu tepat dan wajar disokong. ASEAN akan berusia 60 tahun pada 8 Ogos 2027. Keamanan selama hampir enam dekad itu terhasil daripada pilihan yang disengajakan dan dialog yang berterusan, dan ia tidak boleh dianggap sesuatu yang terjamin. Hasrat Menteri Pertahanan agar ASEAN yang diwariskan kepada generasi akan datang lebih bersatu berbanding yang diwarisi menuntut keberanian yang sama daripada setiap negara anggota.
ASEAN pernah gagal bersuara di Phnom Penh. Laut China Selatan kini menuntut ASEAN membuktikan bahawa pengajaran itu sudah dipelajari.

Ditulis Shah Mohd Akmal Abdul Halim, pensyarah di Jabatan Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).