LATEST

Sumali kini Timbalan Presiden ASTAF

Sumali kini Timbalan Presiden ASTAF

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Mohamad Sumali Reduan disahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) selepas hanya dua pencalonan diterima untuk mengisi dua jawatan berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Mesyuarat Agung ASTAF selepas mesyuarat di Bangkok, Thailand, hari ini.

Turut disahkan menang tanpa bertanding ialah Datuk Abdul Halim Kader yang kekal sebagai Presiden ASTAF selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu.

Sumali yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan mengisi satu daripada dua jawatan Timbalan Presiden bersama Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Thailand, Dr Srihassak Arrirachakaran, yang turut menang tanpa bertanding.

Keputusan itu dimuktamadkan selepas tempoh penamaan calon ditutup pada jam 5 petang waktu Malaysia, hari ini.

Bagaimanapun, persaingan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Eksekutif ASTAF masih terbuka apabila jumlah pencalonan diterima melebihi jumlah kekosongan yang ditawarkan.

Mesyuarat Agung Pemilihan ASTAF dijadual berlangsung di Bangkok pada 9 Disember depan bagi menentukan barisan kepemimpinan bagi jawatan yang masih dipertandingkan.

Sementara itu, Abdul Halim mahu meneruskan usaha memperkukuh hubungan strategik ASTAF dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) bagi memperjuangkan pengiktirafan lebih luas terhadap sukan itu.

Beliau turut menegaskan impian untuk melihat sepak takraw dipertandingkan di pentas Olimpik kekal menjadi antara agenda utama kepemimpinannya.

“Perjuangan kita belum selesai. Impian saya adalah melihat sepak takraw dipertandingkan di pentas Olimpik. Kita mesti terus bersatu, bekerja lebih keras dan memastikan sukan ini berkembang secara profesional, berintegriti serta memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news