Paris: Legenda judo Perancis, Teddy Riner mengejutkan dunia sukan apabila mengumumkan hasrat bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Perancis 2027, dengan mendakwa kebimbangannya terhadap peningkatan pengaruh politik kanan ekstrem di negara itu.
Juara Olimpik lima kali berusia 37 tahun itu membuat pengumuman berkenaan menerusi satu video di media sosial, Isnin, sekali gus memberi bayangan mahu menawarkan pilihan baharu kepada rakyat yang tidak mahu terperangkap antara dua fahaman politik ekstrem.
“Nama saya Teddy Riner dan hari ini, saya ingin memberitahu anda secara berdepan bahawa saya adalah calon dalam Pilihan Raya Presiden 2027,” katanya.
Riner yang berasal dari wilayah Guadeloupe berkata, beliau bimbang Perancis bakal berdepan perpecahan lebih serius sekiranya ketegangan politik terus meningkat.
“Hari ini kita hidup bersama antara satu sama lain. Saya bimbang esok kita akan hidup dalam suasana pertembungan,” katanya.
Pengumuman itu hadir ketika calon kanan ekstrem, Marine Le Pen dilaporkan mendahului tinjauan bagi menggantikan Presiden Emmanuel Macron, manakala pemimpin kiri ekstrem, Jean-Luc Melenchon turut mendapat sokongan ketara.
Riner yang juga antara tokoh sukan paling dikenali di Perancis berkata, beliau tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi, peningkatan hutang negara, kehilangan kewibawaan pihak berkuasa serta kesukaran hidup yang dihadapi rakyat.
Beliau turut membangkitkan isu diskriminasi apabila mendakwa masa depan golongan muda boleh terjejas hanya kerana tidak mempunyai hubungan, nama keluarga atau warna kulit yang dianggap sesuai.
“Saya tidak akan menjadi antara mereka yang hanya melihat negara ini terbakar sambil memberikan pelbagai alasan.
“Perjuangan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya. Saya tahu apa ertinya berjuang, jatuh dan bangkit semula,” katanya.
Bagaimanapun, penganalisis Eurasia Group, Dani Podgoretskaya berpandangan populariti Riner dalam dunia sukan belum tentu mampu diterjemahkan kepada sokongan politik.
Katanya, bekas juara dunia 11 kali itu masih belum mempunyai pengalaman dalam jawatan politik, parti mahupun manifesto terperinci untuk meyakinkan pengundi.
Riner bagaimanapun menegaskan beliau akan memulakan kempen dalam masa terdekat dengan pembiayaan menerusi sumbangan serta wang sendiri.
Menariknya, beliau turut menyatakan hasrat meneruskan karier sukan dan tidak menolak kemungkinan beraksi pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sekiranya memenangi pilihan raya itu.
Dalam kariernya, Riner memenangi pingat emas kategori heavyweight pada Sukan Olimpik 2012, 2016 dan 2024 selain meraih emas acara berpasukan campuran pada 2020 dan 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd